AM > BERITA

Pusat Aktiviti KEMAS RM900,000 Dibina Di Permatang Damar Laut, Beri Manfaat 50 Murid

05/12/2025 12:15 PM

GEORGE TOWN, 5 Dis (Bernama) -- Sebuah pusat aktiviti baharu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bernilai hampir RM900,000 telah dibina di Permatang Damar Laut bagi menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa kepada 50 murid tabika di kawasan itu.

Penang Infrastructure Corporation (PIC) dalam satu kenyataan memaklumkan pembangunan di atas tanah seluas 881 meter persegi itu merupakan inisiatif PIC dan Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) sebagai komitmen kerajaan negeri, selepas fasiliti KEMAS sebelum ini perlu dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Pan Island Link 2A (PIL2A).

“Kemudahan baharu ini bukan sahaja menempatkan blok tabika berkeluasan 226.86 meter persegi, malah turut dilengkapi blok kemahiran seluas 298.88 meter persegi bagi membolehkan komuniti setempat meneruskan program komputer, kemahiran digital dan kelas jahitan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri Datuk Rashidi Zinol, serta Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus.

Mohamad berkata pembinaan semula kemudahan tersebut penting memandangkan KEMAS memainkan peranan besar dalam pendidikan awal kanak-kanak dan pembangunan masyarakat, justeru kerajaan negeri menetapkan agar ia diganti serta dibina semula dengan lebih baik.

Mengulas pembangunan Pulau Silikon dan PIL2A, beliau berkata kerajaan negeri kekal berpegang pada prinsip pembangunan mampan bagi memastikan kebajikan penduduk dan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara.

“Pelbagai manfaat telah disalurkan melalui Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), termasuk bayaran ex-gratia, bantuan bot dan enjin, latihan kemahiran, peluang pekerjaan serta bantuan pendidikan untuk anak-anak nelayan.

“Pendekatan ini membuktikan bahawa pembangunan berskala besar dilaksanakan secara inklusif, memastikan komuniti nelayan terus menerima pembelaan, sementara projek PIL2A bakal meningkatkan kesalinghubungan dan mobiliti penduduk di kawasan selatan Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Barat Daya (Bahagian Pembangunan) Rosli Hassan, berkata projek kemudahan KEMAS itu dilaksanakan SIDSB melalui kontraktor utama SRS TC Sdn Bhd, yang melantik NYE Legacy Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaannya.

Beliau berkata kerja pembinaan bermula pada Mei lepas dan mengambil masa lima bulan untuk disiapkan, melibatkan pembinaan semula kemudahan sedia ada selain beberapa penambahbaikan bagi memenuhi keperluan semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan