KAPIT, 7 Dis (Bernama) -- Kesinambungan projek Kampung Angkat Madani (KAM) bagi tahun hadapan bergantung kepada keputusan kerajaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata sekiranya program berkenaan diteruskan pada 2026, kawasan dan keperluan di Kapit yang perlu diberi perhatian telah dikenal pasti.
“Kita belum buat pemilihan tetapi kita sudah tahu kawasan yang sesuai sekiranya projek KAM masih diteruskan. Pelaksanaannya bergantung kepada kelulusan kerajaan dalam bajet berkenaan.
“Itu kita serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mengumumkan sama ada projek ini diteruskan untuk 2026 serta jumlah peruntukan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI Nanga Engkuah, Ulu Katibas, Song oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di Pejabat Daerah Song, hari ini.
Nanta berkata beliau telah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Goram, Pelagus dan Katibas mengenai pelaksanaan projek berkenaan, dan sekiranya diberi peluang, kawasan yang sesuai untuk pelaksanaan telah dikenal pasti.
Selain Katibas, projek KAM turut dilaksanakan di Bukit Goram namun masih belum dapat dijalankan di Pelagus.
Di Katibas, projek itu melibatkan komuniti Nanga Engkuah yang merangkumi tiga rumah panjang iaitu Rumah Radiah Langit, Rumah Albert Lajong dan Rumah Assan Munan, manakala di Bukit Goram ia dilaksanakan di Rumah Kiong Igang.
Beliau berkata pelaksanaan projek KAM di Nanga Engkuah berdepan cabaran logistik termasuk laluan pengangkutan sungai dan jalan balak namun usaha gigih semua pihak membolehkan projek itu direalisasikan.
Dalam ucapannya, Nanta berkata inisiatif KAM adalah ilham Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan sebuah projek yang mungkin tidak begitu besar dari segi fizikal tetapi sangat besar maknanya kepada penduduk.
“Nanga Engkuah terpilih sebagai satu daripada lokasi. Ini sewajarnya menjadi kebanggaan penduduk kerana komuniti ini turut menerima manfaat pembangunan yang dibawa kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan kejayaan projek seperti itu memerlukan sokongan dan kerjasama erat masyarakat setempat, selain menghargai usaha wakil rakyat yang memperjuangkan pembangunan kawasan pedalaman, khususnya di DUN Katibas.
Pada peringkat awal, projek KAM di Nanga Engkuah melibatkan peruntukan RM2.5 juta namun kos meningkat kepada sekitar RM4 juta berikutan keperluan logistik yang tinggi.
Sebanyak empat projek fizikal berjaya disiapkan merangkumi pembinaan dua jambatan pejalan kaki baharu yang menghubungkan tiga rumah panjang, pemasangan lampu solar, naik taraf pondok menunggu di jeti serta naik taraf laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan projek siap Kampung Angkat MADANI Nanga Engkuah oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid kepada ADUN Katibas Lidam Assan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial