AM > BERITA

Kerajaan MADANI Berjaya Sedia 511,544 RMM, Lepasi Sasaran Ditetapkan Menerusi RMK-12 - Nga

09/12/2025 03:16 PM

JOHOR BAHRU, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI berjaya menyediakan 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM) sekali gus melepasi sasaran 500,000 unit ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pencapaian itu adalah setakat 30 Sept lepas yang merangkumi unit RMM telah siap, sedang dalam pembinaan serta telah memperoleh kelulusan merancang.

Kejayaan itu, kata Nga adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta, selain pelaksanaan reformasi perumahan MADANI yang diumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 20 Nov lepas.

"Pencapaian ini antara yang memberangsangkan. Belum pernah ada kerajaan terdahulu berjaya mencapai sasaran ditetapkan. 

“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kerajaan pertama mencipta sejarah bukan sahaja mencapai, tetapi melepasi sasaran membina 500,000 unit RMM.

"Lima mekanisme reformasi utama termasuk Perjanjian Jual Beli Secara Elektronik (eSPA), Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS) serta audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA). Saya yakin tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Vista Tiara Johor Bahru di Vista Tiara Danga Bay di sini hari ini.

Nga berkata antara negeri paling banyak dibina RMM ialah Lembah Klang, Selangor dan Johor kerana mengikut keperluan manakala KPKT telah menyelamatkan 1,333 projek sakit dan terbengkalai, melibatkan hampir 160,000 unit rumah di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

“Kadar pemilikan rumah bagi keluarga Malaysia kini berada pada 76.5 peratus, menunjukkan tahap kestabilan sosial dan ekonomi yang semakin kukuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nga berkata kementeriannya meluluskan RM82 juta untuk pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR) pertama di Johor, yang akan dibangunkan di Larkin.

Beliau berkata projek itu berkonsepkan pembangunan bersepadu dan berperanan sebagai rumah transit untuk anak muda, dengan pengurusan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

“Di kawasan itu, sewa tiga bilik biasanya kira-kira RM2,000, namun kerajaan menetapkan kadar RM600 untuk unit tiga bilik dan RM200 untuk unit satu bilik bagi membantu anak muda yang baru bekerja atau baru berkahwin,” katanya sambil menambah projek berkenaan dalam proses tender dan pembinaannya dijangka bermula suku pertama tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan