AM > BERITA

Projek Kota Dan Bandar MADANI Berada Di Landasan Tepat - PM Anwar

09/12/2025 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Projek Kota MADANI Putrajaya dan Bandar MADANI Bukit Jalil berada di landasan yang tepat dengan penerapan sepenuhnya elemen MADANI termasuk konsep sekolah vertikal dan kemudahan komuniti yang lebih bersepadu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perkembangan itu dimaklumkan ketika sesi taklimat tentang status terkini beberapa projek pembangunan utama di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kota MADANI di Presint 19 bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menengah serta pelbagai kemudahan awam.

Bandar MADANI Bukit Jalil pula akan menawarkan rumah pintar, sekolah vertikal, mobiliti pintar serta penggunaan teknologi tenaga boleh baharu bagi penduduk di ibu kota.

Pada masa sama, Anwar berkata projek pembangunan semula di beberapa lokasi strategik juga diberi perhatian rapi.

“Saya turut meneliti isu berkaitan pembinaan Masjid MADANI dan mengarahkan agar proses pembinaan dipercepat supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya tanpa berlengah,” kata beliau.

Masjid MADANI di Jalan Masjid India, di sini yang berkonsepkan identiti Malaysia mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa, termasuk 592 jemaah di ruang utama solat.

Perdana Menteri berkata kerajaan kekal fokus dalam memastikan setiap pembangunan bandar memberikan manfaat langsung kepada rakyat merangkumi peningkatan infrastruktur, penyediaan kemudahan moden serta pemeliharaan identiti dan warisan bandar.

“Insya-Allah, usaha bersepadu ini menjadi sebahagian daripada ikhtiar kita untuk membina bandar yang lestari, inklusif dan progresif,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan