AM > BERITA

Perlis Pada Fasa Akhir Kajian Untuk Wujud Lapan Pekan Baharu - MB

09/12/2025 03:50 PM

KANGAR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Perlis kini pada fasa akhir kajian untuk mewujudkan lapan pekan baharu yang dijangka mengubah landskap pembangunan negeri berkenaan.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata usaha mewujudkan pekan baharu itu dan peluasan bandar Kangar serta Arau dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 11 Kanun Tanah Negara.

“Kita (Kerajaan Perlis) letakkan peruntukan bagi memastikan ia dapat dilaksana dan digazetkan mulai Mac 2026 merangkumi aspek kegiatan ekonomi serta infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2026 Perlis bertemakan “Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera” di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata lokasi pekan baharu itu akan ditentukan menerusi kajian berkenaan manakala proses penggazetan akan dibuat selari dengan Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 yang menjadi dasar hala tuju pembangunan negeri.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan Program Sumbangan Beras Prihatin Perlis melibatkan peruntukan RM105,000 tahun depan yang bertujuan membantu golongan rentan dalam menangani kos sara hidup.

“Pengagihan beras akan dibuat secara bulanan mulai Januari 2026 melalui pusat khidmat wakil rakyat di semua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan data penerima dirujuk melalui ICU (Pejabat Pembangunan Persekutuan Perlis) dan agensi berkaitan bagi mengelakkan pertindihan.

“Ia bersasar kepada golongan B40, dengan mereka yang berdaftar akan menerima bantuan secara bulanan melalui pusat khidmat. Kita nak pastikan rakyat kita cukup makanan asas dan sihat,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan