AM > BERITA

Johor Transformasi Pasar Nanyang Kepada Klinik Dengan Kos RM4 Juta

09/12/2025 05:04 PM

JOHOR BAHRU, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM4 juta dalam mentransformasikan Pasar Nanyang di kawasan Mount Austin di sini kepada Klinik Kesihatan Sultan Ismail (Unit Ibu dan Anak).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata klinik baharu itu memulakan operasi secara berfasa dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 15 Dis ini, sekali gus mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Sultan Ismail (KKSI).

Beliau berkata KKSI menerima kira-kira 1,500 pesakit setiap hari dan sehingga 300 individu, yang hadir untuk mendapatkan perkhidmatan di Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS) secara pandu lalu.

“Oleh itu, kami bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil keputusan mentransformasikan bangunan, yang kira-kira dua tahun tidak digunakan ini menjadi klinik yang akan dijadikan sebagai projek perintis serta copy and paste ke tempat atau pun klinik-klinik lain yang berlaku kesesakan. 

“Kami telah bayar sewanya selama 10 tahun dengan kos RM2.4 juta manakala untuk menaik taraf (RM1.08 juta) selain RM760,000 pula bagi pembelian peralatan. Oleh itu, kerajaan negeri membelanjakan tidak kurang daripada RM4 juta untuk inisiatif ini,” katanya selepas melawat Decanting KKSI di sini hari ini. 

Ling berkata rawatan bayi dan PPUS telah dipindahkan ke klinik baharu itu pada 1 Dis lepas manakala bagi ibu mengandung pula pada 15 Dis ini. 

“Setiap hari KKSI menerima anggaran sehingga 500 ibu mengandung dan bayi yang akan mendapatkan rawatan. Oleh itu kami telah berjaya mengalihkan perkhidmatan berkenaan ke sini (klinik baharu), yang akan berlaku pengurangan pesakit di KKSI.  

“Kedua kami alihkan PPUS, iaitu sekurang-kurangnya 200 kenderaan akan pergi ke KKSI untuk beratur bagi pengambilan ubat mereka. Justeru, dengan adanya inisiatif ini, pesakit dapat menikmati persekitaran yang lebih selesa dan kondusif, selain pengurangan bilangan kenderaan yang beratur untuk pengambilan ubat di KKSI,” katanya. 

Ling berkata kerajaan negeri dan JKNJ sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, kondusif dan profesional kepada masyarakat setempat termasuk melalui pengalihan sebahagian perkhidmatan ke klinik baharu bagi mengurangkan kesesakan di KKSI. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan