AM > BERITA

KKR Tegas Patuhi SOP Kerja Pembaikan Jalan Runtuh - Nanta

10/12/2025 01:39 PM

JOHOR BAHRU, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan bahawa semua Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kerja-kerja pembaikan jalan runtuh dipatuhi sepenuhnya, termasuk di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata setiap SOP keselamatan merupakan prosedur wajib bagi memastikan pengguna jalan raya berhati-hati serta menyedari kewujudan risiko di kawasan terbabit.

Beliau berkata pemasangan penghadang konkrit dan tanda amaran yang digunakan di lokasi berkenaan adalah daripada standard lebih tinggi dan bukan jenis mudah alih.

“Itu prosedur standard kita apabila berlaku insiden di jalan raya. Memang kita letakkan semua keperluan keselamatan seperti tanda amaran dan penghadang bagi membantu pengguna jalan raya berhati-hati serta menyedari ada masalah di lokasi berkenaan.

“Selain penghadang, kita turut pasang notis penutupan di setiap persimpangan masuk yang memaklumkan kawasan itu ditutup,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) di Persada Johor International Convention Centre, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini insiden tanah runtuh di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah).

Dalam pada itu, Nanta berkata kerja pembaikan di lokasi tersebut hanya dapat dilaksanakan sekarang kerana projek berkenaan memerlukan peruntukan besar berjumlah RM36 juta, yang hanya diluluskan pada Mac tahun ini.

“Kawasan itu runtuh pada November 2024 dan peruntukan diluluskan pada Mac tahun ini. Dengan adanya peruntukan itu, proses lantikan kontraktor sedang dijalankan dan kerja pembaikan akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya mengenai aspek kecuaian pengguna jalan dalam insiden itu, beliau berkata perkara tersebut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Biar polis yang beri kenyataan tentang aspek kecuaian itu. Pasukan JKR pula menjalankan siasatan dari sudut teknikal,” katanya.

Pada Jumaat lepas, sepasang bakal pengantin yang menaiki SUV dari arah Hulu Terengganu menuju ke Gua Musang maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam 61 meter di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah).

Polis sebelum ini memaklumkan bahawa faktor kecuaian dipercayai menjadi punca insiden itu, sementara pemeriksaan mendapati tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kejadian telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan