AM > BERITA

Profesion Teknikal Tunjang Pembangunan Negara - Nanta

10/12/2025 02:03 PM

JOHOR BAHRU,10 Dis (Bernama) -- Profesion teknikal perlu terus diberi keutamaan sebagai agenda strategik negara bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam era teknologi digital dan teknologi baharu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jurutera, arkitek, pakar teknologi, profesional keselamatan, pakar pembinaan serta pelbagai disiplin teknikal lain merupakan golongan yang membina asas kemajuan negara, merangkumi pembangunan struktur fizikal, teknologi moden, enjin pembangunan, serta daya saing ekonomi.

Menurut beliau, dalam dunia digital yang dipacu automasi, robotik, dan kecerdasan buatan (AI), profesion teknikal kini bukan sekadar kerjaya makan gaji, sebaliknya penggerak utama yang menentukan hala tuju masa depan negara.

“Generasi muda perlu melihat bidang teknikal sebagai platform untuk melahirkan daya cipta inovatif yang mampu menjadi pemangkin kepada penyelesaian permasalahan manusia dan dunia.

“Seiring Revolusi Perindustrian Ke-4, negara perlu melangkaui pendekatan tradisional dengan mengadaptasi teknologi seperti IoT, AI, VR, dan Data Raya bagi meningkatkan kecekapan, analitik serta keberkesanan sistem pembelajaran dan pengurusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) di Persada Johor International Convention Centre, di sini hari ini.

Tambah beliau, inovasi termasuk robotik, Sistem Binaan Berindustri (IBS), dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) terus mentransformasi sektor pembinaan negara dengan tahap keselamatan, ketepatan, dan produktiviti yang lebih tinggi, sekali gus memacu pembangunan yang lebih pintar, mampan, dan kompetitif.

Namun, beliau menegaskan bahawa teknologi hanya bermakna jika ia berteraskan hikmah dan kepedulian terhadap rakyat.

“Apalah gunanya kecanggihan teknologi jika ia tidak menambah baik kehidupan rakyat? Apalah ertinya inovasi jika ia tidak menginsankan pembangunan?” katanya sambil menambah bahawa pembinaan modal insan teknikal yang seimbang dan cerdas akal kekal menjadi keutamaan.

Beliau turut berkata pemilihan Johor sebagai tuan rumah Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 merupakan pengiktirafan terhadap kedudukan negeri itu sebagai hab ekonomi, industri, dan teknikal yang sedang berkembang pesat.

“Pada 2025, Johor menerima peruntukan RM11.43 bilion daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk RM10.24 bilion bagi projek pra-pembinaan dan pembinaan, serta RM1.19 bilion untuk penyenggaraan jalan, bangunan, dan cerun.

“Dengan peruntukan ini, kita bukan sahaja membina dan menyenggara, tetapi lebih penting, kita mencorak masa depan Johor yang kukuh demi kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan negeri dan negara secara berterusan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan dengan Menteri Besar Johor pada 26 Nov lepas telah membuka ruang kerjasama strategik, khususnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Kolaborasi ini akan memastikan setiap projek dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berkesan, sekali gus memberikan impak maksimum kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan