AM > BERITA

Kerjasama UKM-AIST Perkasa Teknologi Kuantum Negara

10/12/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai kerjasama strategik berimpak tinggi dengan National Institute of Advanced Industrial Science and Technology (AIST), Jepun seterusnya mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai peneraju teknologi kuantum negara.

Naib Canselor UKM Prof Dr Sufian Jusoh dalam kenyataan hari ini menyifatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan AIST sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan UKM selaku institusi yang memacu pembangunan teknologi kuantum di Malaysia.

“UKM amat menghargai kepercayaan AIST. Kerjasama ini mengiktiraf UKM sebagai pemain utama dalam membangunkan ekosistem kuantum negara.

“Ia bukan sahaja mengukuhkan kepakaran penyelidikan, malah membuka laluan luas kepada pemindahan teknologi, pembangunan modal insan dan inovasi masa depan,” katanya.

AIST adalah antara institusi penyelidikan terkemuka dunia dalam bidang kuantum dan kecerdasan buatan (AI). 

Dokumen MoU itu ditandatangani Sufian bagi pihak UKM dan Pengarah Global Research and Development Center for Business by Quantum-AI Technology (G-QuAT) Prof Dr Masu Kazuya, bagi pihak AIST.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Sufian berkata kolaborasi antara dua institusi itu bakal menjadi pemangkin kepada tiga teras utama pembangunan kuantum negara antaranya pemindahan pengetahuan dan teknologi secara langsung daripada pakar global. 

Selain itu, pemerkasaan keupayaan penyelidikan dalam kuantum dan AI, menjadikan UKM pusat rujukan serantau serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi melalui latihan, penyelidikan bersama dan pendedahan kepada teknologi kuantum generasi baharu.

Beliau berkata usaha itu akan membangunkan sebuah ekosistem kuantum antarabangsa yang menghubungkan Malaysia dan Jepun, seterusnya menyokong penggunaan teknologi kuantum dalam penyelesaian sosial, industri dan pembangunan negara.

“Inisiatif jangka panjang ini bakal menjadi penanda aras baharu kepada hubungan universiti-industri dan meletakkan Malaysia pada landasan kukuh sebagai hab kuantum serantau,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan