AM > BERITA

DUN Perlis Lulus RUU Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2025

11/12/2025 08:46 PM

KANGAR, 11 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pengangkatan Orang Islam (Negeri Perlis) 2025, tanpa dibahaskan.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata enakmen itu untuk memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah di Perlis, membuat perintah pengangkatan setelah mempertimbangkan faktor seperti persetujuan ibu, bapa, anak, usia dan hubungan pemohon dengan anak serta kebajikan anak.

“Enakmen ini juga menetapkan tatacara dan syarat pengangkatan, bagi melindungi hak dan kebajikan anak, adapun tujuan RUU ini adalah untuk mengadakan peruntukan bagi pengangkatan orang Islam, pendaftaran pengangkatan dan bagi perkara yang berkaitan dengannya,” katanya ketika membentangkan RUU itu pada persidangan DUN berkenaan, di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata kelulusan RUU itu merupakan satu pencapaian bersejarah, meletakkan Perlis sebagai negeri perintis Semenanjung Malaysia yang mempunyai kerangka perundangan khas, mengintegrasikan prinsip Maqasid Syariah secara holistik dalam urusan pengambilan anak angkat.

“Iaitu demi memelihara kesucian nasab dan hubungan mahram yang sah selain menjamin perlindungan hak, harta serta kebajikan mutlak kanak-kanak tersebut, agar masa depan mereka terbela selari dengan tuntutan agama dan perundangan semasa,” katanya.

 

Dalam pada itu, semasa sidang media selepas persidangan, beliau berkata penggubalan enakmen itu memberikan punca kuasa jelas kepada Mahkamah Tinggi Syariah bagi mendengar dan memutuskan permohonan pengangkatan anak bagi orang Islam, yang sebelum ini terhad di bawah bidang kuasa sivil atau tanpa perundangan syariah khusus.

Mohd Shukri berkata pelaksanaan enakmen itu menawarkan penyelesaian tuntas terhadap isu pengangkatan dalam masyarakat Islam melalui empat manfaat utama, iaitu penyelesaian isu mahram melalui susuan (Rada’ah), jaminan hak harta dan nafkah anak, perlindungan kanak-kanak melalui penjaga yang diputuskan oleh mahkamah (Ad Litem), serta proses pendaftaran yang sah dan teratur.

Pada persidangan DUN Perlis hari ini turut meluluskan RUU Enakmen Perbelanjaan Negeri Tahun 2026 (Belanjawan 2026 Perlis).

Persidangan DUN Perlis ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan