IPOH, 13 Dis (Bernama) -- People Of Remarkable Talents (PORT) terus memperkukuh ekosistem industri kreatif negeri ini melalui penerbitan buku 'Ritma Atas Puisi: Muzik Rap dan Budaya Hip Hop' yang menghimpunkan dapatan penyelidikan dan wacana akademik berkaitan perkembangan muzik serta budaya hip hop di Malaysia.
Ahli Lembaga Pengarah PORT Mohamad Hamidi Baharuddin berkata penerbitan tersebut menjadi antara usaha penting dalam memperluas dokumentasi seni tempatan, khususnya sebagai rujukan akademik dan pendidikan kepada pendidik, pelajar, penggubal dasar serta penggiat industri kreatif.
Beliau berkata buku itu merupakan hasil himpunan kertas kerja yang dibentangkan dalam Ipoh Music Symposium (IMS) tahun lepas dan mencerminkan komitmen berterusan PORT dalam membudayakan penyelidikan, dokumentasi dan penerbitan ilmu berkaitan seni muzik.
"Inisiatif berkenaan sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan insan, ekonomi kreatif dan pengukuhan identiti budaya negeri secara mampan.
“Budaya hip hop yang dibincangkan dalam buku ini merupakan fenomena seni yang merentas disiplin, melibatkan muzik, tari, seni visual, filem dan fesyen, sekali gus mencerminkan dinamika kreativiti generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Ipoh Music Symposium 2024 Ritma Atas Puisi: Muzik Rap dan Budaya Hip Hop di sini hari ini.
Mohamad Hamidi berkata penerbitan buku tersebut turut menyumbang kepada usaha mengekalkan pengiktirafan Ipoh sebagai Ipoh City of Music di bawah Rangkaian Bandar Kreatif Network (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang memerlukan sokongan berterusan daripada segi dokumentasi, data dan penyelidikan.
"Kerajaan negeri melalui PORT melaksanakan pelbagai program sokongan termasuk Dana Kreatif Perak, Arkib Muzik Perak, Ipoh Music Symposium dan Portcast bagi membina ekosistem seni yang lebih tersusun dan berdaya saing.
"PORT kini sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Seni Kreatif Perak sebagai platform strategik untuk menghimpunkan maklumat penggiat seni kreatif pelbagai disiplin yang dijangka dilancarkan Menteri Besar Perak dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata pangkalan data itu akan menjadi asas penting kepada perancangan dasar, penyaluran sokongan dan pemetaan potensi industri kreatif negeri, selari dengan hasrat menjadikan Perak sebagai hab kreatif yang berdaya maju di peringkat nasional dan antarabangsa.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial