AM > BERITA

Lebih 1,500 Sertai IYC2025 Coopwalk, Tutup Tirai Sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa

14/12/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) melabuhkan tirainya hari ini menerusi penganjuran IYC2025 CoopWalk yang menghimpunkan lebih 1,500 peserta daripada pelbagai segmen koperasi dan masyarakat umum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta komitmen berterusan gerakan koperasi terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan negara.

Program anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu bermula di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan berakhir di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL), menawarkan pengalaman menikmati keindahan bandar raya dan kehijauan alam semula jadi sambil mempromosikan gaya hidup sihat.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata CoopWalk bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya membawa makna simbolik kepada perjuangan bersama gerakan koperasi.

“Program CoopWalk ini melambangkan perjalanan kolektif gerakan koperasi yang bergerak seiring dalam meningkatkan taraf kehidupan penduduk serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara,” katanya ketika merasmikan penutupan IYC2025 di sini hari ini.

Khairul Dzaimee turut merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas komitmen berterusan dalam menjayakan sambutan IYC2025 melalui penganjuran pelbagai yang memberi impak positif kepada pemerkasaan gerakan koperasi di peringkat kebangsaan dan serantau.

Majlis itu turut dihadiri Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organisation (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, bersama kepimpinan ANGKASA serta wakil koperasi tempatan dan antarabangsa.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil lapan koperasi dari negara ASEAN, termasuk Filipina, Indonesia, Kemboja dan Timor Leste, sebagai tanda sokongan terhadap kerjasama serantau serta kesepaduan gerakan koperasi di Asia Tenggara.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata penganjuran CoopWalk membuktikan keupayaan gerakan koperasi menghimpunkan masyarakat dalam program berimpak sosial.

“Program seperti CoopWalk menonjolkan nilai kebersamaan, perpaduan dan kekuatan komuniti yang menjadi asas kepada gerakan koperasi serta mencerminkan semangat koperasi yang inklusif,” katanya.

Beliau berkata sambutan IYC2025 sepanjang tahun ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai program strategik.

“Pelaksanaan program seperti ASEAN Cooperative Dialogue (ACD) 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama, perkongsian pengetahuan dan peluang pembangunan koperasi di peringkat ASEAN,” katanya.

Program CoopWalk turut diadakan sebagai penghormatan kepada tokoh pemikir gerakan koperasi negara Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, yang pernah mencetuskan penganjuran acara berjalan kaki KOPJOG pada era 1980-an sebagai simbol penyertaan masyarakat dan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan warga koperasi.

Majlis penutupan IYC2025 mengukuhkan tekad ANGKASA dan seluruh gerakan koperasi untuk meneruskan momentum yang dibina sepanjang tahun ini dengan penekanan terhadap perpaduan, inovasi, jaringan kerjasama serta sumbangan koperasi dalam pembangunan masyarakat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan