JOHOR BAHRU, 14 Dis (Bernama) -- Jenazah mangsa kejadian kren runtuh di sebuah loji janakuasa semalam, Muhammad Amaluddin Hisamudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah pada 3.45 petang tadi.
Pengebumian Muhammad Amaluddin, 22, dihadiri ratusan ahli keluarga dan sahabat terdekat serta wakil syarikat Malakoff.
Terdahulu, solat jenazah dilakukan di rumah keluarganya di Jalan Nusa Perintis di sini, selepas semua urusan di Unit Forensik Hospital Pontian selesai pada 2 petang.
Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa Muhammad Alfarid Ahmad, 19, akan dikebumikan di Tanah Merah, Kelantan.
Ahli keluarga dua mangsa terlibat mula berada di Hospital Pontian pada 9 pagi bagi menguruskan urusan berkaitan jenazah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata siasatan masih dijalankan dengan pihaknya sedang menunggu laporan pihak berkaitan.
“Kami masih menunggu laporan penuh bomba dan Tanjung Bin sebelum kenyataan dikeluarkan,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Semalam, dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren mengangkat arang batu runtuh di kawasan loji janakuasa Tanjung Bin dekat Kukup, Pontian pada kira-kira 1 tengah hari dengan kejadian juga menyebabkan kebakaran kecil.
Mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini.
Susulan kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mahu supaya siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan dengan pihak pengurusan loji serta kontraktor terlibat diarahkan memberi kerjasama penuh.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyeru pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal terlibat mengenal pasti punca kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial