KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Enam timbalan menteri dan satu muka baharu diangkat sebagai menteri penuh dalam pelantikan anggota pentadbiran Kerajaan MADANI yang baharu, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media khas mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 11 portfolio itu memaklumkan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Pelantikan Mohamed Taufiq itu menggantikan penyandangnya Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Enam timbalan menteri yang "dinaikkan pangkat" pula ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustafa Sakmud mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Turut diumumkan ialah pelantikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggantikan penyandangnya Nik Nazmi Nik Ahmad.
Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti yang diadakan pada Mei lepas.
Selain itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Turut tersenarai ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan yang dilantik mengetuai Kementerian Sumber Manusia.
Beliau menggantikan penyandangnya Steven Sim yang ditukarkan ke jawatan sama di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan pula dilantik sebagai menteri penuh menggantikan Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Perdana Menteri ketika mengumumkan senarai baharu itu berkata langkah berkenaan dilakukan berikutan kekosongan dalam Kabinet dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian.
“Langkah ini supaya Kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya.
Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi saluran stesen televisyen antaranya Bernama TV, serta platform media sosial termasuk Facebook rasmi Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial