AM > BERITA

Bernama Rangkul Lapan Anugerah Malam Media Perak Sejahtera Tahun 2025

23/12/2025 12:06 AM

IPOH, 22 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul lapan anugerah pada Malam Media Perak Sejahtera Tahun 2025 di sini malam ini.

Wartawan Razif Rosli meraih tempat pertama Anugerah Berita Digital (Bukan Bahasa Melayu) dengan tajuk Orang Asli Women Turn Natural Ingredients Into Beauty Business Success serta membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 manakala wartawan Fadzlina Abu Bakar Sidek memperoleh tempat kedua bagi kategori sama dan membawa pulang RM1,000. 

Sementara itu, Wartawan Bernama Nur Afiradina Arshad memenangi tempat pertama bagi Anugerah Rencana Terbaik Cetak dan Digital menerusi penulisan Mendepani Negeri Menua Paling Awal, Perak Proaktif Perkukuh Kemudahan Untuk Warga Emas, sekali gus membawa pulang RM1,500.

Wartawan Mohamad Adzhar Tajudin pula memenangi tempat ketiga bagi rencana bertajuk Menjejak Temoleh, Ikan Ikonik Sungai Perak Kini Diancam Kepupusan dan membawa pulang RM500.

Dalam pada itu, Jurugambar Farhan Najib Yusoff dan Jurukamera Abdul Razak Mohammad Shohib memenangi tempat kedua bagi anugerah Foto Terbaik dan Video TV terbaik serta masing-masing membawa pulang RM1,000.

Selain itu, Bernama juga memperoleh tempat ketiga bagi anugerah Foto Esei Terbaik yang dimenangi Farhan Najib dengan tajuk OKU Tuai Semangat Di Ladang Kebun Bandar Kampung Tawas serta anugerah Berita Digital (Bahasa Melayu) diraih Mohamad Harith Mohamad Nizar yang bertajuk Adzmi Temukan Rahsia Bukit Merah, Hasilkan Arowana Premium masing-masing membawa pulang RM500 serta Penghargaan kepada Pesara Media Abd Rashid Lamak.

Hadiah disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak Sayed Hesham Idris.

Saarani dalam ucapannya berkata malam ini menjadi pentas untuk pihaknya menyatakan rasa terima kasih melalui Anugerah Media Perak Sejahtera Tahun 2025.

“Saya dimaklumkan jika tahun lepas lebih 90 penyertaan diterima, pada tahun ini jumlahnya meningkat kepada lebih 120 penyertaan melibatkan sembilan kategori yang dipertandingkan, dengan pemarkahan yang sangat sengit.

“Bagi saya, jumlah penyertaan yang semakin bertambah ini menunjukkan rakan-rakan media semakin memahami agenda yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata hal itu bukan sahaja mencerminkan betapa hubungan antara Kerajaan Negeri Perak dan rakan-rakan media tidak boleh dibiarkan berjalan secara kebetulan atau bersifat sementara. 

Sembilan kategori dipertandingkan ialah Anugerah Foto Esei Perak, Foto Terbaik, Video TV Terbaik, Video Digital Terbaik, Berita Terbaik (Bahasa Melayu) Kategori: Media Cetak, Berita Terbaik (Bukan Bahasa Melayu) Kategori: Media Cetak, Berita Digital Terbaik (Bahasa Melayu), Berita Digital Terbaik (Bukan Bahasa Melayu) dan Anugerah Rencana Terbaik Cetak dan Digital. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan