AM > BERITA

Penguatkuasaan Kebajikan Haiwan Berterusan, DVS Selesai Lebih 16,000 Aduan

24/12/2025 12:30 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Penguatkuasaan kebajikan haiwan di negara ini dilaksanakan secara berterusan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada serta dipantau menerusi sistem pengurusan aduan berstruktur, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Justeru, DVS menegaskan bahawa dakwaan dalam laporan media bertajuk Kes aniaya haiwan: Semakin membimbangkan, penguatkuasaan perlu lebih tegas, yang disiarkan pada 21 Dis lepas adalah tidak tepaT.

Menurut DVS, sebanyak 19,303 aduan telah diterima bagi tempoh 2021 hingga 2025, dan daripada jumlah tersebut sebanyak 16,340 merupakan aduan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) manakala 2,963 aduan pula, bukan di bawah akta itu.

"Daripada kesemua aduan yang diterima ini, sebanyak 16,394 telah diselesaikan. Jumlah aduan yang diterima ini mencerminkan tahap kesedaran serta pengetahuan tinggi dalam kalangan masyarakat di Malaysia mengenai saluran dan kaedah penyaluran aduan berkaitan kebajikan haiwan," menurut DVS dalam kenyataan hari ini.

DVS turut memaklumkan, berdasarkan aduan yang mempunyai asas kukuh, sebanyak 43 kes telah berjaya disabitkan kesalahan dan didakwa di mahkamah sepanjang tempoh sama, dengan jumlah denda keseluruhan RM445,400 dikenakan terhadap pesalah.

Menurut DVS, semua aduan kebajikan dan penganiayaan haiwan diterima secara rasmi melalui Sistem MyAnimalWelfare, iaitu platform dalam talian yang membolehkan aduan direkod secara digital dan disalurkan terus kepada pegawai penguat kuasa di lapangan mengikut negeri atau lokasi kejadian untuk tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta 772.  

"MyAnimalWelfare memainkan peranan penting dalam pengurusan aduan kebajikan haiwan. Melalui sistem ini, semua aduan direkod secara digital dan berpusat, maklum balas terus kepada pengadu, jejak kes secara telus.

“Aduan yang melibatkan penganiayaan serius hingga mengancam nyawa akan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam, manakala aduan bersifat pengabaian akan ditangani dalam tempoh tiga hari bekerja," menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten, DVS memaklumkan Arahan Prosedur Tetap Kebajikan Haiwan (Aduan) telah dibangunkan sebagai rujukan standard kepada semua pegawai penguat kuasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan Akta 772 dapat dilaksanakan dengan efisien dan efektif.

Selain penguatkuasaan, DVS memaklumkan bahawa kolaborasi strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021-2030 bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan haiwan secara menyeluruh.

Dalam usaha membentuk kesedaran jangka panjang, DVS memaklumkan kerjasama dengan Sektor Prasekolah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan Pek Sumber Kebajikan Haiwan@Prasekolah, bertujuan memupuk sikap belas kasihan, empati serta pemilikan haiwan yang bertanggungjawab dalam kalangan pelajar muda. 

DVS menyarankan sebarang rujukan atau semakan dibuat terus kepada jabatan itu bagi memastikan orang awam menerima maklumat yang tepat dan sahih berkaitan aduan kebajikan haiwan, sekali gus mengelakkan kekeliruan serta salah faham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan