AM > BERITA

UTM, Universiti Zhejiang Jalin Kerjasama Lima Tahun Bidang AI

24/12/2025 01:37 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Zhejiang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama sains dan teknologi selama lima tahun, dengan tumpuan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata kerjasama itu merangkumi penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan, penyelidikan dan pembangunan teknologi secara bersama, program pascasiswazah, pertukaran akademik dan pelajar, serta pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Chang berkata beliau mengalu-alukan bentuk kerjasama berkenaan yang bukan sekadar tertumpu kepada pertukaran akademik, sebaliknya memberi penekanan kepada pencapaian hasil sebenar serta impak terhadap pembangunan negara.

“Peranan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi adalah menyediakan platform dan ekosistem di peringkat nasional agar kekuatan penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan kemajuan negara, di samping menghubungkan bakat tempatan dengan rangkaian penyelidikan bertaraf dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata kerjasama yang dimeterai pada 19 Dis lalu itu merupakan susulan lawatan kerja beliau ke China pada Jun lepas, yang turut merangkumi kunjungan ke Universiti Zhejiang bagi membuka ruang kerjasama penyelidikan antara Malaysia dan China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan