AM > BERITA

Rapid KL Lanjut Operasi Rel, Bas Terpilih Sempena Ambang Tahun Baharu 2026

26/12/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel hingga 2 pagi sempena sambutan ambang tahun baharu 2026 pada Rabu ini.

Selain itu, perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas terpilih dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand (ROD) akan beroperasi hingga 2.30 pagi pada 1 Jan 2026.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan pergerakan penumpang selepas tamat acara sambutan berjalan dengan lebih selamat, terkawal dan teratur, selain membantu pengguna merancang perjalanan pulang dengan lebih baik.

"Lanjutan operasi berkenaan melibatkan 20 stesen rel, tujuh stesen BRT, 21 laluan bas utama dan perantara Rapid KL serta sembilan zon ROD," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bagi Laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat ialah Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan USJ 7, manakala Laluan Ampang/Sri Petaling melibatkan stesen Hang Tuah, Masjid Jamek dan Maluri, sementara perkhidmatan Monorel melibatkan stesen Bukit Bintang dan Hang Tuah.

Sementara itu, Laluan Kajang melibatkan stesen Pasar Seni, Tun Razak Exchange, Bukit Bintang, Maluri, Mutiara Damansara dan Cochrane, manakala Laluan Putrajaya melibatkan stesen Tun Razak Exchange, Persiaran KLCC dan Ampang Park.

Bagi BRT Laluan Sunway yang beroperasi hingga 2.30 pagi, stesen terlibat ialah Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan USJ7.

"Stesen selain yang disenaraikan akan menamatkan operasi seperti biasa namun pengguna masih dibenarkan keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

“Bagi memastikan keselesaan pengguna, kekerapan tren akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula 7.30 malam, 31 Dis hingga 2 pagi pada 1 Jan. Waktu perkhidmatan bagi beberapa laluan bas terpilih dan ROD turut dilanjutkan hingga jam 2.30 pagi,” menurut kenyataan itu. 

Untuk maklumat terkini dan perancangan perjalanan yang lebih mudah, orang ramai disaran mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL serta memuat turun aplikasi MyRapid PULSE.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan