AM > BERITA

Baki Cuti Sekolah Dimanfaatkan Ibu Bapa Untuk Persiapan Awal Sekolah

29/12/2025 11:15 AM

JOHOR BAHRU, 29 Dis (Bernama) -- Berbaki kira-kira dua minggu sebelum cuti persekolahan berakhir, ibu bapa mengambil kesempatan membuat persediaan awal bagi pembukaan sesi persekolahan baharu.

Tinjauan Bernama di Angsana Mall di sini mendapati kebanyakan ibu bapa memilih untuk membeli kelengkapan sekolah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kekurangan saiz pada saat akhir.

Bapa kepada dua anak, Mohd Zulfadhli Mostapa, 38, berkata beliau membeli pakaian, kasut dan peralatan sekolah anak-anaknya lebih awal bagi mengelakkan kesibukan pada penghujung cuti.

“Saya buat persiapan awal supaya tidak kelam-kabut dan bimbang saiz habis. Harga memang meningkat, tetapi kita terima sahaja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan keluarganya tidak merancang percutian pada cuti sekolah kali ini kerana anaknya, Muhammad Adam Zahirul Haq, 14, terlibat dengan latihan bola sepak.

Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Nur berkata beliau memanfaatkan cuti sekolah untuk membeli keperluan persekolahan anak lebih awal selain meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

“Saya tidak mahu membeli pada saat akhir kerana bimbang saiz habis. Walaupun harga agak tinggi, keperluan anak tetap diutamakan,” katanya sambil menambah beliau memilih pusat membeli-belah kerana kemudahan mendapatkan semua barangan di satu lokasi.

Sementara itu, pembantu tadbir, Zuliana Japar, 42, berkata baki cuti sekolah diisi dengan aktiviti bersama anak-anak di pusat membeli-belah memandangkan persiapan persekolahan telah diselesaikan lebih awal.

Beliau berkata aktiviti dalaman menjadi pilihan berikutan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan