Daripada Muhammad Saufee Rosman
ISTANBUL, 8 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk menghadiri beberapa program sebelum mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 2.19 petang waktu tempatan (7.19 malam waktu Malaysia).
Beliau turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri Turkiye daripada pelbagai sektor.
Beliau dijangka menerima kunjungan hormat daripada bekas pemain bola sepak antarabangsa Mesut Ozil.
Perdana Menteri kemudiannya akan mengadakan sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air, menandakan berakhirnya lawatan rasmi beliau ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang bermula Selasa lepas.
Lawatan rasmi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Turkiye yang sudah terjalin sejak sekian lama.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion), menjadikan republik itu sebagai rakan ekonomi penting Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial