Oleh Noornasrin Salsabila Othman
PASIR MAS, 14 Jan (Bernama) -- Minat mendalam terhadap alunan dan bunyian serunai sejak berusia lima tahun telah mendorong seorang remaja berbangsa Tiong Hua, Lee Ming Xiang, 19, untuk mengembangkan bakatnya dan memartabatkan warisan budaya ini.
Beliau berkata alat muzik serunai ini tidak boleh ditiup secara semborono sebaliknya ia memerlukan teknik serta kemahiran yang betul, termasuk kawalan pernafasan, posisi jari dan keupayaan menghasilkan nada yang seimbang.
"Bunyi serunai yang unik dan lantang telah menarik perhatian saya sejak kecil lagi, sekali gus menimbulkan keinginan untuk mempelajari alat muzik tersebut walaupun tidak ramai masyarakat yang menguasai dan mengetahui cara untuk menggunakan alat muzik ini.
"Malah, saya sering dijemput untuk membuat persembahan kebudayaan termasuk wayang kulit di kampung dan di Zepp Kuala Lumpur pada Ogos 2024 serta majlis di Pejabat Pendidikan Daerah Machang dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pada tahun lepas," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Pasir Parit, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Ming Xiang berkata dia mula mendalami alat muzik ini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021 dan mula menempah serunai pertama berharga RM280 sebatang.
"Saya juga turut belajar secara asas menggunakan alat muzik ini dengan pembuat serunai Mohd Izani Mohd Nor, 42 dan Mazlan Idris, 68.
"Untuk memantapkan kemahiran mengendalikan serunai serta dapat melantunkan alunan muzik dengan baik, saya meluangkan masa kira-kira 30 minit setiap hari untuk mempraktikkan alat muzik ini," katanya.
Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah di Machang itu berkata kebiasannya dia akan berlatih meniup penyedut minuman dalam bekas air untuk membantu mengawal penafasan kerana ia elemen yang sangat penting untuk menentukan lantunan muzik yang dihasilkan.
"Setakat ini, antara cabaran bagi saya sejak berkecimpung dalam dunia muzik serunai ini adalah untuk menghasilkan lantunan serunai bertemakan lagu tradisional melayu berbanding lagu bahasa Inggeris dan moden.
"Hal ini disebabkan, lagu bahasa Inggeris sudah ada dalam buku not muzik, sebaliknya lagu tradisional melayu pula saya perlu mendengar menerusi aplikasi sosial media seperti YouTube serta guru-guru untuk mengetahui not muzik yang diperlukan dengan tepat," katanya.
Ming Xiang berkata dia kini memiliki lima serunai termasuk tiga serunai 'ibu' serta dua serunai 'anak', kedua-dua jenis itu mempunyai keistimewaan dan kegunaan tersendiri yang berharga antara RM280 hingga RM380 sebatang.
"Serunai ibu digunakan dengan lebih meluas, iaitu bagi persembahan wayang kulit, Mak Yong, silat, main puteri serta menora kerana alunan muzik yang dihasilkan lebih kasar, manakala serunai anak pula khusus untuk wayang kulit terutamanya ketika Tok Dalang sedang menyanyi kerana bunyinya lebih nyaring.
"Kesemua serunai yang dimiliki ini akan digunakan secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian persembahan," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Anak kepada Quick Hoon Lian, 58 dan Lee Tiong Joo, 59 itu berkata beliau kini aktif berkongsi minatnya melalui aplikasi YouTube dan TikTok dengan menggunakan nama 'LeMeat Productions' sebagai usaha memperkenalkan seni serunai kepada masyarakat umum.
"Jika tiada generasi yang meneruskan legasi ini, seni serunai mungkin akan pupus, sebab itu saya mahu belajar dengan lebih mendalam walaupun tidak ramai kaum saya yang meminatinya," katanya yang bercita-cita menjadi Bahasa Inggeris dan muzik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial