AM > BERITA

Ibu Bapa Perlukan Bantuan Lindungi Anak Daripada Bahaya Internet

17/01/2026 07:06 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak ketika melayari Internet semakin menghantui ibu bapa, terutamanya apabila penggunaannya kini menjadi sebahagian daripada rutin harian di rumah.

Ramai ibu bapa mengakui sukar mengawal penggunaan gajet anak-anak, terutamanya pendedahan tanpa kawalan kepada kandungan berbahaya, tidak senonoh dan penipuan dalam talian, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua ibu bapa bekerja.

Seorang jururawat Siti Noormaliana Rashid, 39, berkata kerisauan itu semakin terasa setiap kali beliau meninggalkan anak-anak di rumah untuk bertugas di hospital.

“Bila kita bekerja dan terpaksa tinggalkan mereka, kita tak boleh pantau telefon sepanjang masa dan kita tak tahu apa yang mereka tonton,” katanya.

Bagi pegawai kewangan Siti Salwa Zakaria, 39, kegusaran itu semakin kuat kerana kini Internet sudah menjadi satu keperluan yang tidak dapat dipisahkan daripada keperluan pembelajaran anak-anak.

“Anak-anak guna Internet untuk kerja sekolah. Sekarang kelas pun ada kumpulan WhatsApp sendiri, jadi kalau disekat, anak-anak akan ketinggalan maklumat,” katanya.

Namun, sebagai ibu kepada empat anak berusia bawah 16 tahun, beliau berpandangan ibu bapa perlu menerima realiti dunia digital, sambil mendidik anak-anak membezakan antara kebaikan dan keburukan Internet.

Pendekatan berbeza pula diambil petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) Ramesh Rajan, 41, yang memilih kawalan lebih ketat di rumah.

Anak-anaknya yang berusia antara enam hingga 14 tahun berkongsi sebuah telefon tanpa sambungan Internet dan hanya dibenarkan menggunakan peranti lain yang mempunyai sambungan Internet di bawah pengawasan.

“Jika perlukan Internet, mereka akan guna telefon isteri saya sambil dipantau. Saya bimbang mereka tersalah tekan kandungan tidak sesuai atau terperdaya dengan penipuan,” katanya.

Bagaimanapun, Ramesh mengakui walaupun pelbagai langkah kawalan diambil, pendedahan kepada kandungan tidak wajar tetap sukar dielakkan, terutamanya apabila anak-anak berinteraksi di luar rumah atau dengan rakan sebaya.

Kebimbangan itu disokong data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), yang merekodkan lebih 1,400 bahan lucah melibatkan kanak-kanak diturunkan sepanjang Januari hingga September tahun lepas.

Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Interpol pula mendapati 91 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menggunakan Internet setiap hari dengan 70 peratus daripada mereka terdedah kepada kandungan berbahaya.

Sehubungan itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas diharap dapat membantu ibu bapa memahami risiko Internet, memperkukuh kawalan keselamatan digital dan membimbing mereka membina amalan digital yang lebih selamat.

-- BERNAMA
 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan