KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini melancarkan Program Kemahiran VETRI MADANI 2026 (VETRI), inisiatif pembangunan kemahiran inklusif bertujuan memperkasa komuniti India melalui latihan berstruktur dan peluang penempatan pekerjaan.
Sebagai agensi pelaksana, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) telah memperuntukkan dana RM10 juta dan menyasarkan latihan kepada 2,000 peserta di seluruh negara, dengan tumpuan kepada peningkatan kebolehpasaran melalui pensijilan profesional yang diiktiraf.
Dalam kenyataan hari ini HRD Corp memaklumkan program itu selari dengan bidang tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta menyokong aspirasi KESUMA untuk membina tenaga kerja inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan.
“Direka untuk memperkasa komuniti India, program ini menawarkan laluan latihan berstruktur yang dapat meningkatkan kualiti hidup melalui penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan kemahiran peserta selaras dengan keperluan industri.
“Kursus yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor yang strategik dan berkembang pesat, termasuk kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, keselamatan siber dan maklumat, infrastruktur awan dan analitik sains data, automasi, robotik dan Industri 4.0, serta kejuruteraan semikonduktor dan elektronik termaju,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan telah dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan semasa sambutan Hari Ponggal iaitu perayaan sempena musim menuai, di Kuil Sri Siva Subramaniar di Sungai Buloh.
HRD Corp memaklumkan Program Kemahiran VETRI MADANI itu juga memperkukuh komitmen agensi tersebut dalam memajukan pembangunan bakat inklusif untuk melengkapkan komuniti India dengan kemahiran yang dapat meningkatkan kebolehpasaran, menggalakkan mobiliti sosial dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan mencakupi seluruh negara, HRD Corp akan bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri dan penyedia latihan yang berdaftar dengan agensi itu.
Selari dengan komitmen HRD Corp terhadap tadbir urus yang baik dan ketelusan, program ini akan ditadbir sepenuhnya secara dalam talian manakala kursus latihan dijalankan secara fizikal atau hibrid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial