AM > BERITA

TalentCorp, EY Malaysia Meterai MoU Perkasa Latihan AI Libatkan 22,000 Peserta

17/01/2026 07:46 PM

SUNGAI BULOH, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi TalentCorp memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Malaysia) bagi memperluas Program Jelajah AI MyMahir, yang bertujuan mempersiapkan rakyat menghadapi ekonomi berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Pemeteraian MoU bernilai RM110 juta itu disaksikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan pada majlis yang berlangsung di sini hari ini, dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 22,000 rakyat di seluruh negara.

Ramanan dalam ucapannya berkata pendekatan Malaysia terhadap AI perlu bersifat inklusif yang berteraskan rakyat serta berpaksikan keperluan sebenar tempat kerja dan dengan pertukaran MoU tersebut membolehkan usaha itu dilaksanakan secara menyeluruh.

“AI kini sedang membentuk semula cara rakyat Malaysia bekerja merentasi pelbagai sektor. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan rakyat tidak tercicir serta dilengkapi dengan kemahiran praktikal agar kekal produktif, berdaya saing dan mempunyai nilai kebolehpasaran pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis yang turut menyaksikan pelancaran Jelajah AI MyMahir.

Beliau juga berkata melalui TalentCorp, pelaksanaan inisiatif itu digerakkan secara langsung di peringkat akar umbi, dengan Jelajah AI MyMahir menterjemahkan keutamaan pembangunan bakat negara kepada pembelajaran AI yang praktikal dan dibawa terus kepada rakyat di tempat mereka tinggal dan bekerja.

Menurut kenyataan TalentCorp, program Jelajah AI MyMahir peringkat nasional akan dilaksanakan di 60 kawasan Parlimen melibatkan latihan AI yang praktikal dan sesuai untuk pelajar, pekerja, wanita, usahawan serta pemilik perniagaan kecil.

“Program ini memberi tumpuan kepada aplikasi AI yang boleh digunakan serta-merta bagi meningkatkan produktiviti, menjana pendapatan dan memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja sejajar dengan perubahan pesat keperluan pekerjaan akibat penggunaan AI.

“Sehingga kini, empat program perintis Jelajah AI MyMahir telah dilaksanakan di Sabah dan Selangor, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap pembelajaran AI berasaskan aplikasi di peringkat nasional,” menurut kenyataan itu.

TalentCorp juga memaklumkan keperluan mempercepat usaha peningkatan kemahiran AI diperkukuh oleh Kajian Impak TalentCorp mengenai AI, pendigitalan dan ekonomi hijau, yang menganggarkan kira-kira 685,000 pekerja Malaysia berpotensi terkesan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sekiranya usaha latihan semula dan peningkatan kemahiran tidak diperkasakan.

“Dapatan itu turut disokong kajian Institute of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia, yang menunjukkan 45 peratus tenaga kerja atau sekitar 6.7 juta pekerja yang mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus tugasan kerja, berpotensi digantikan oleh teknologi AI generatif sedia ada,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan