AM > BERITA

Feri Percuma Sempena Thaipusam Pada 31 Jan Dan 1 Feb

21/01/2026 05:37 PM

GEORGE TOWN, 21 (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mengumumkan perkhidmatan feri percuma pada 31 Jan dan 1 Feb ini kepada seluruh warganegara Malaysia sempena perayaan Thaipusam.

Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata tambang percuma itu melibatkan perjalanan kedua-dua arah dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini dan sebaliknya, dengan lanjutan perkhidmatan hingga 3 pagi pada 2 Feb. 

“Feri akan beroperasi dari 12 tengah malam hingga 11.30 malam pada 31 Jan dan 1 Feb manakala pada 2 Feb dari 12 tengah malam hingga 3 pagi.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan merujuk jadual feri terkini melalui laman sesawang serta media sosial rasmi SPPP dan PPSB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh berkata inisiatif itu merupakan manifestasi komitmen berterusan SPPP dan PPSB dalam memudahkan perjalanan rakyat Malaysia, terutamanya pada musim perayaan.

Beliau berkata perkhidmatan feri percuma ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang tetapi turut menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan efisien.

“Melalui tawaran perkhidmatan feri percuma ini, pengguna akan menikmati penjimatan perjalanan sehala sebanyak RM2 bagi penumpang pejalan kaki manakala RM2.50 bagi kenderaan dua roda,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata statistik perkhidmatan feri perjalanan dua hala sempena Thaipusam tahun lepas merekodkan 25,670 penumpang pejalan kaki dan 7,993 kenderaan dua roda dalam tempoh tiga hari iaitu pada 10,11 dan 12 Feb.

“Statistik itu menyumbang kepada jumlah keseluruhan penumpang pada tahun tahun lepas iaitu 3.13 juta pejalan kaki dan 784,065 kenderaan dua roda.

Selain itu, sempena inisiatif feri percuma Thaipusam serta sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan SPPP tahun ini, Yeoh berkata SPPP turut menaja program kemasyarakatan menerusi kempen “Kids Go Free Thaipusam Special” di Muzium Feri Pulau Pinang.

Beliau berkata program itu membolehkan kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 12 tahun dan ke bawah menikmati kemasukan percuma ke Muzium Feri Pulau Pinang sepanjang tempoh perayaan iaitu dari 31 Jan hingga 2 Feb.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan