AM > BERITA

Masjid Warisan Berciri Seni Bina MADANI Ikon Baharu Kuala Lumpur

22/01/2026 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pembinaan Masjid Warisan berkonsep dalam taman bercirikan seni bina MADANI di Jalan Davis berhadapan Menara Exchange di sini bakal menjadi bangunan ikon baharu ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pembinaan masjid bernilai kira-kira RM60 juta itu dijangka bermula tahun ini dan siap pada 2028.

Beliau berkata masjid yang dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 1.86 hektar itu dijangka mampu menampung lebih 6,000 jemaah pada satu masa selain berfungsi sebagai pusat tumpuan aktiviti keagamaan kepada hampir 10,000 jemaah di sekitar Menara Exchange.

“Insya-Allah ia akan dibina menggunakan teknologi terkini dan mesra alam sekitar selaras dengan apa yang dikehendaki masa kini, termasuk bagaimana kita boleh memudahkan jemaah dari pejabat dan premis sekitar datang tanpa perlu membawa kenderaan sendiri.

“Kita akan pastikan pembinaan mengikut jadual selain pemilihan kontraktor dan sebagainya dipastikan yang benar-benar berwibawa,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan masjid itu hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli menasihatkan umat Islam memelihara kesucian dan imej institusi masjid dengan tidak melakukan perbuatan tidak bermoral dalam persekitaran masjid.

Beliau juga menasihatkan umat Islam tidak membazir masa melihat perkara tidak bermanfaat di media sosial, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu lebih besar melibatkan kepentingan ummah seperti ekonomi, pendidikan dan pembangunan masyarakat. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan