AM > BERITA

GEM Sokong Mekanisme Majlis Perundingan Gig Tentu Kadar Pendapatan Minimum

29/01/2026 10:59 AM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Gabungan E-hailing Malaysia (GEM) menyokong penuh langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggunakan mekanisme Majlis Perundingan Gig (MPG) bagi menentukan kadar pendapatan minimum sektor berkenaan.

Ketua Aktivis GEM Jose Rizal dalam kenyataan berkata penegasan kementerian itu adalah berlandaskan realiti sebenar ekosistem pekerjaan gig yang mempunyai struktur serta model operasi berbeza berbanding pekerjaan konvensional.

Beliau menyifatkan pelaksanaan Akta Pekerja Gig yang diwartakan pada Disember 2025 sebagai satu langkah tepat dan progresif bagi menjaga kepentingan pemandu e-hailing dan p-hailing.

“Kami menghargai penjelasan kadar gaji minimum RM1,700 adalah rujukan kepada dasar gaji minimum konvensional di bawah Akta Kerja 1955.

“Sebaliknya, penentuan pendapatan minimum pekerja gig perlu dibincangkan secara khusus dan rundingan itu haruslah melibatkan wakil sektor pekerja itu sendiri,” katanya.

Jose turut menyarankan agar isu pendapatan itu dirunding secara berstruktur melalui MPG yang bersifat tripartit, iaitu melibatkan kerajaan, wakil pekerja gig dan entiti platform.

“Pendekatan ini memastikan suara pekerja gig didengar secara rasmi dan keputusan yang dicapai adalah adil, seimbang serta berpaksikan situasi sebenar di lapangan.

“Ia memberi peluang terbaik kepada semua pihak berkepentingan untuk membincangkan formula pendapatan yang mengambil kira kos sara hidup, variasi lokasi serta jenis perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada MPG untuk melaksanakan peranannya sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang demi kestabilan industri.

“GEM kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kementerian bagi memastikan kebajikan, perlindungan dan masa depan pekerja gig terus diperkukuh selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.

KESUMA, menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan penentuan pendapatan minimum pekerja gig dilaksanakan melalui proses perundingan berstruktur di bawah kerangka Akta Pekerja Gig 2025.

Kementerian berkenaan memaklumkan kerangka itu diwujudkan kerana sifat pekerjaan gig adalah berbeza daripada pekerjaan konvensional dan memerlukan pendekatan yang lebih sesuai dengan struktur serta model operasi ekosistem platform. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan