AM > BERITA

Tokong Kuan Tai Meow Jadi Lokasi Tumpuan Perayaan Tahun Baharu Cina Di Gua Musang

03/02/2026 09:37 PM

GUA MUSANG, 3 Feb (Bernama) -- Bau colok, deretan hidangan tradisi serta wajah-wajah ceria warga emas menjadi simbolik kesyukuran bagi masyarakat Tionghua yang berhimpun di Tokong Kuan Tai Meow, di sini sempena meraikan detik menjelang Tahun Baharu Cina hari ini.

Sejak dua dekad, tokong berkenaan menjadi lokasi pertemuan masyarakat Cina setempat, bukan sekadar untuk bersembahyang tetapi mengeratkan persaudaraan dan meraikan rezeki yang dikurniakan sepanjang tahun.

Pengerusi tokong berkenaan Yap Kam Seng berkata tradisi tahunan itu dianjurkan setiap 16 haribulan 12 kalendar lunar Cina sebagai tanda kesyukuran serta memohon kesejahteraan untuk tahun baharu yang bakal tiba.

“Majlis dimulakan dengan upacara sembahyang di tokong sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti keraian hingga ke malam. Ia bukan sekadar ritual, tetapi juga ruang kami berkumpul berkongsi kegembiraan,” katanya kepada Bernama pada majlis berkenaan di sini.

Beliau berkata acara turut diisi dengan sesi ramah mesra bersama warga emas serta jamuan makan malam melibatkan seluruh komuniti Kampung Baru.

“Kami menerima tajaan daripada pelbagai pihak termasuk pasar raya besar di daerah ini bagi meraikan lebih 1,500 komuniti Cina yang bakal menyambut Tahun Kuda, tahun ini,” katanya.

Bagi warga emas, Eddie Foo Sin Chew, 74, majlis berkenaan membawa makna tersendiri, terutama bagi mereka yang semakin dimamah usia.

“Setiap tahun saya menantikan majlis ini kerana kami warga emas diraikan dengan penuh perhatian. Selain hidangan makanan tengah hari, kami turut menerima duit raya, baucar beli-belah dan buah limau,” katanya.

Katanya sambutan sebegitu bukan sahaja menghidupkan semangat Tahun Baharu Cina, malah membuatkan warga emas berasa dihargai dan tidak dilupakan oleh komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan