AM > BERITA

KBS, JPM Hal Ehwal Agama Komited Perkukuh Pembangunan Belia

03/02/2026 08:56 PM

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini menyatakan komitmen untuk memperkukuh fungsi masjid dalam usaha memantapkan pembangunan belia menerusi program Rakan Muda.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pembangunan negara menuntut penglibatan belia yang berdaya saing dan berupaya menjadi pelapis kepimpinan masa depan, justeru usaha berkenaan perlu digerakkan dari peringkat awal.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga platform mengimarahkan aktiviti yang membina sahsiah dan jati diri golongan belia.

"Masjid juga boleh menjadi tempat perhimpunan anak muda bagi mencetuskan idea baharu yang bernas, selain berfungsi sebagai ruang untuk aktiviti kesukanan dan kemasyarakatan sekali gus melahirkan belia yang lebih sihat dari segi jasmani dan rohani,” katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di sini hari ini.

Terdahulu, perbincangan lebih satu jam antara kedua-dua menteri itu antara lain menyentuh peranan  masjid dalam membangunkan potensi golongan belia melalui program Rakan Muda.

Beliau berkata KBS juga terbuka untuk memperluas inisiatif sedemikian di rumah ibadat lain seperti tokong dan kuil selaras dengan keperluan untuk melahirkan generasi muda yang sihat, berdaya tahan dan berakhlak.

“Sasaran kita adalah belia seluruh Malaysia, dan yang keduanya ialah merentas agama, maknanya bukan hanya belia beragama Islam tetapi juga bukan Islam. Perincian mengenai pelaksanaan dan jenis program akan diumumkan pada 16 Feb depan,” katanya.

Sementara itu Zulkifli berkata pendekatan yang lebih proaktif, progresif dan bersifat kolaboratif menjadi asas kepada pelaksanaan inisiatif kerjasama itu antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan KBS.

“Kita cuba untuk mengubah pendekatan kepada yang lebih proaktif, progresif, dinamik iaitu kita tidak boleh lagi melakukannya secara berasingan. Kita kena bekerjasama dengan KBS bagi mengukuhkan lagi gerak kerja.

“Apa yang kita cuba lakukan bukan hanya untuk kerohanian tetapi juga untuk membina negara dan membina perpaduan. Kita memastikan bahawa bukan hanya bercakap tentang aspek orang Islam sahaja, tetapi kita ingin memperkukuh lagi interaksi antara semua agama dan kaum,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan