MELAKA, 4 Feb (Bernama) -- Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman menegaskan bahawa seluruh warga Tentera Darat perlu bersatu hati, mengekalkan integriti dan mempunyai kemahuan untuk menang dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan.
Beliau berkata situasi geopolitik dan geostrategik tidak menentu telah memberi kesan limpahan strategik akibat pertembungan kuasa-kuasa besar yang cuba menguasai ekonomi dan perdagangan dunia, sekali gus memberi impak besar kepada keselamatan negara.
"Perkembangan pesat teknologi dunia turut mempengaruhi kaedah peperangan masa kini. Justeru, Tentera Darat tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang dan perlu segera melangkah untuk menghadapi konsep peperangan masa hadapan yang berteraskan teknologi moden," katanya ketika menyampaikan Perutusan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-31 di Dataran Parawood, Kem Terendak di sini hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa tentera juga berdepan ancaman bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, perubahan iklim, bencana alam serta ancaman berbentuk hibrid, yang memberi kesan terhadap kedaulatan dan kepentingan negara.
"Di saat ini juga, Tentera Darat sedang dilanda badai gelora sehingga berlakunya defisit kepercayaan kepada kita semua. Saban hari kita dikecam dan dicemuh, bagaikan tiada penghujungnya," kata beliau.
Beliau juga menekankan falsafah pemerintahan Tentera Darat iaitu "kemahuan untuk menang" bukan sekadar keinginan untuk menang atau semangat untuk kelihatan hebat, tetapi tekad hati untuk menang dan berjaya dalam setiap aspek termasuk medan, latihan, kesiagaan, keputusan, agama dan amanah.
Azhan juga menggariskan dua prinsip utama sebagai panduan warga Tentera Darat iaitu identiti sebagai warga Tentera Darat serta etos kepahlawanan dan ikrar kesatria yang merangkumi takwa, kesetiaan, pengorbanan, disiplin, ikhlas, dan amanah.
Beliau menegaskan bahawa setiap pegawai dan anggota perlu melaksanakan tanggungjawab dengan telus serta berintegriti, dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang tidak berintegriti, perasuah, atau salah guna kuasa.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kepimpinan berkesan, pembangunan pemimpin masa depan, daya intelektual yang tinggi, kecekapan teknologi dan latihan yang diselaraskan serta berkesan.
Azhan juga menyeru agar seluruh warga Tentera Darat kembali bersatu hati dan bersama-sama mengembalikan kegemilangan serta maruah pasukan keselamatan itu.
Perutusan itu disampaikan dalam satu perbarisan tempur melibatkan 38 pegawai dan 1,356 anggota lain-lain pangkat daripada formasi 10 Briged (Para), 21 Gerup Gerak Khas dan tiga divisyen, diketuai Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para), Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz.
Perutusan Perintah Ulung PTD ke-31 turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial bagi memastikan seluruh warga Tentera Darat dapat mendengar dan menghayati intipati ucapan tersebut walau di mana mereka berada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial