AM > BERITA

Pegawai Kanan Tentera Ditahan, Disyaki Rasuah RM28,000

04/02/2026 05:56 PM

SEREMBAN, 4 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang pegawai kanan tentera kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM28,000 sejak dua tahun lepas.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan bagi penyambungan kontrak perkhidmatan operator gambar, penjualan cenderamata fotografi serta daripada kontraktor yang mendapat kerja di tempat beliau bertugas.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman selama enam hari sehingga 9 Feb bagi membantu siasatan, selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber, lelaki itu ditahan pada kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2025 ketika bertugas sebagai pengarah. Suspek disyaki menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM3,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan