KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Aloft Kuala Lumpur Sentral memperkenalkan Selera Urban Sentral ft. Amelia Christie di Nook, satu pengalaman menjamu selera pada Ramadan yang dianjurkan dengan kerjasama pelakon tempatan dan pempengaruh gaya hidup, Amelia Christie.
Aloft Hotels dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bufet Ramadan itu mendapat inspirasi daripada kedinamikan KL Sentral dan hidangan berbuka puasa yang menjadi kegemaran ramai, dengan pendekatan segar terhadap cita rasa tradisional melalui olahan moden resipi klasik.
"Bufet Ramadan ini juga menampilkan hidangan berbuka puasa popular dengan sentuhan urban termasuk Nasi Kerabu Sushi Roll, Kerabu Soba dengan Makanan Laut, dan Nachos bersama Tempe Bolognaise dan Sambal Tomato," menurut kenyataan itu.
Pengalaman menjamu selera itu turut menarik perhatian dengan adanya stesen yang menyediakan Kambing Bakar Berempah yang juga boleh dihidangkan sebagai Burrito Kambing Bakar, di samping stesen masakan langsung yang menawarkan Roti John Daging dengan Salad Avokado.
Bagi melengkapkan ciptaan berinspirasikan urban ini, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai hidangan lain termasuk Masak Lemak Cili Api "Baby Lobster" dan Beriani Itik Salai, selain pilihan pencuci mulut seperti Kek Keju Kunafa Pistasio, Kek Batik Matcha dan Puding Pisang.
Menambahkan lagi suasana menjamu selera, Aloft Hotels memaklumkan persembahan gesekan biola secara langsung oleh Syerot akan diadakan sepanjang bufet untuk mewujudkan suasana meriah dan penuh perayaan kepada pengunjung.
Sementara itu, Amelia yang teruja dengan kerjasama itu berkata Ramadan ialah masa bermakna untuk kebersamaan dan berkongsi juadah, justeru mencipta detik istimewa melalui makanan di Nook, Aloft Kuala Lumpur Sentral membolehkan orang ramai berhubung dan meraikan bulan yang mulia dengan cara baharu.
Chef de Cuisine Aloft Kuala Lumpur Sentral Cef Iskandar Zarrataj turut teruja dalam mentafsir semula hidangan tradisional dan mengangkatnya menjadi ciptaan unik.
"Bekerjasama dengan Amelia Christie ialah pilihan semula jadi kerana beliau berkongsi visi untuk kekal berakar pada warisan sambil mengikuti trend terkini. Bersama-sama kami menganjurkan bufet makan malam Selera Urban Sentral untuk meraikan hidangan tradisional dengan sentuhan baharu," katanya.
Bufet Selera Urban Sentral ft. Amelia Christie akan ditawarkan dari 23 Feb hingga 18 Mac, dengan harga RM158 seorang, manakala harga awal ialah RM128 seorang dan RM98 untuk kanak-kanak dan warga emas hingga 16 Feb ini.
Bagi acara korporat dan kumpulan besar, bufet Selera Urban Sentral turut menawarkan pilihan jamuan peribadi di Grand Ballroom dan ruang Tactic, yang menyediakan suasana ideal untuk rakan sekerja, pelanggan dan tetamu berbuka puasa bersama-sama, dengan harga bermula daripada RM188 seorang.
Untuk tempahan dan pertanyaan, hubungi talian WhatsApp +6012 338 3095, talian telefon +603 2723 1154, atau e-mel kepada kulal.b&f@alofthotels.com
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial