AM > BERITA

TEGAS, MPC Meterai MoU Bangunkan Bakat Anak Muda Sarawak

07/02/2026 07:50 PM

SARIKEI, 7 Feb (Bernama) -- Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menjalin kerjasama strategik untuk memperkasakan pembangunan bakat tempatan.

Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh berkata MoU itu merangkumi tujuh program utama berimpak tinggi yang akan dilaksanakan secara bersama untuk memperkukuh keupayaan belia dan tenaga kerja negeri.

Beliau berkata tujuh program berkenaan meliputi pembangunan bakat digital, peningkatan produktiviti, inisiatif keusahawanan, inovasi dan teknologi, pembangunan kemahiran, program bimbingan serta kesedaran produktiviti.

Len Talif yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak berkata inisiatif berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan modal insan dan bakat tempatan sebagai teras utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negeri.

“Pelaburan paling bernilai bagi sesebuah negeri bukan hanya pada pembangunan fizikal, tetapi pada pembangunan minda, kemahiran dan jati diri anak muda agar mereka mampu menjadi pemacu ekonomi dan pemimpin masa hadapan,” katanya ketika berucap pada program Randau Akademi Dalam Industri (ADI) di Dewan Suarah Sarikei hari ini.

Program berkenaan dianjurkan oleh MPC dengan kerjasama TEGAS, Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang, Pejabat Residen Sarikei dan Pejabat Daerah Sarikei.

Len Talif berkata Sarawak menyasarkan untuk mencapai 30 peratus tenaga kerja berkemahiran, bersamaan kira-kira 500,000 pekerja mahir khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, ekonomi digital dan pembuatan berteknologi tinggi.

Beliau berkata program ADI itu turut menampilkan pameran kerjaya, keusahawanan dan perkhidmatan kerajaan yang menghimpunkan pelbagai agensi serta pemain industri bagi memberi peluang kepada belia dan orang awam mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang pekerjaan, latihan kemahiran, pembiayaan keusahawanan serta perkhidmatan sokongan kerajaan.

Katanya randau yang bertujuan memperkasakan bakat anak Sarawak itu turut menampilkan sesi perkongsian daripada MPC selaku agensi pelaksana ADI, wakil industri serta bakat yang telah berjaya.

“Perkongsian seperti ini amat bernilai kerana ia membuka mata belia kepada realiti industri, keperluan sebenar pasaran kerja dan langkah konkrit yang boleh diambil untuk membina laluan kerjaya yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan