AM > BERITA

Gagau Belut, Ikan Haruan Hidupkan Semula Aktiviti Tradisional Masyarakat Desa

08/02/2026 09:45 PM

KANGAR, 8 Feb (Bernama) -- Pertandingan menggagau belut dan ikan haruan dalam petak sawah berdekatan Dataran Kangar Jaya di sini, sempena Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2026 memberi peluang kepada generasi muda merasai sendiri aktiviti tradisional masyarakat desa yang semakin dilupakan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) merangkap urus setia pertandingan Affendi Rajini Kanth berkata pertandingan menggagau belut berlangsung semalam manakala hari ini melibatkan ikan haruan, yang mendapat penyertaan ramai.

Beliau berkata peserta pertandingan dan pengunjung PAT Perlis 2026, terutama golongan muda masing-masing berpeluang merasai dan melihat sendiri suasana masyarakat kampung yang turun ke petak sawah untuk menggagau ikan dan belut menggunakan serkap atau tangan.

“Suasana itu kami cuba hidupkan semula dan Alhamdulillah sambutan memang meriah,” katanya kepada Bernama selepas pertandingan menggagau ikan haruan yang berlangsung pada sebelah petang hari ini.

Edisi ke-14 PAT Perlis 2026 bermula pada 6 Feb anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dan Kerajaan Negeri Perlis bagi mempromosikan keunikan budaya serta warisan negeri selaras usaha menyokong kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Affendi berkata penyertaan bagi pertandingan menggagau ikan haruan mencecah kira-kira 60 orang berbanding sekitar 50 peserta bagi acara mengagau belut semalam.

“Pemenang ditentukan berdasarkan berat tangkapan. Pertandingan ini terbuka kepada semua peringkat umur tanpa kategori khas, selaras dengan matlamat penganjur untuk menghidupkan semula aktiviti tradisional masyarakat desa,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Ishak Mohd Saleh, 44, dari Kuala Perlis dekat sini berkata dia menyertai kedua-dua pertandingan menggagau belut dan ikan haruan bersama tiga anak lelakinya berusia antara 13 hingga 19 tahun.

“Seronok sebab dapat bawa anak-anak rasa pengalaman macam orang dulu-dulu. Bukan selalu dapat masuk petak sawah macam ni, jadi ini memang kenangan manis untuk kami sekeluarga,” katanya.

Bagi seorang pengunjung pesta Siti Nur Atiqah Nayan, 25, dari Jerlun, Kedah berkata suasana pertandingan itu turut menggamit nostalgia zaman kanak-kanaknya di kampung.

“Bila tengok orang ramai turun petak mengagau, rasa macam kembali ke zaman kecil dulu. Aktiviti macam ini unik dan sesuai sangat dimasukkan dalam pesta kebudayaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan