IPOH, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan berlakunya insiden dentuman kuat di sekitar Ipoh, Kampar, Tapah dan Teluk Intan awal pagi tadi.
Pengarahnya Nizarulikram Abdul Rahim berkata pihaknya turut membuat semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, yang tidak mengesan apa-apa aktiviti seismik menyebabkan gegaran atas permukaan bumi di sekitar Ipoh dan Kampar.
"Setakat ini JMG Perak tiada terima apa-apa aduan. Hanya hantaran dalam media sosial," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nizarulikram berkata dakwaan dentuman itu juga bukan berpunca daripada aktiviti kuari kerana aktiviti peletupan hanya boleh dilakukan antara 12 tengah hari hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya masih menyemak dakwaan bunyi letupan tersebut seperti yang tular di media sosial sejak awal pagi tadi dan akan memaklumkan sekiranya terdapat aduan daripada mana-mana pihak.
Pada 18 Jun 2025, bunyi letupan dan gegaran didakwa berlaku di beberapa kawasan di sekitar Ipoh namun sehingga kini puncanya masih belum diketahui.
Pada 21 Okt 2024 , satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput pada 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat.
Letupan misteri di Ipoh juga pernah berlaku pada 2012 dan 2018, dan telah dipastikan bukan akibat letupan aktiviti kuari atau ujian bom daripada kapal terbang jet.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial