AM > BERITA

Noktahkan Isu Sekolah Daif Di Sabah Bukan Pilihan Tetapi Kemestian - Mustapha

14/02/2026 05:32 PM

KOTA KINABALU, 14 Feb (Bernama) -- Menoktahkan isu sekolah daif di Sabah bukan lagi satu pilihan sebaliknya satu kemestian yang perlu dilaksanakan segera bagi memberikan pendidikan kelas pertama kepada pelajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata keadilan sosial di bawah payung Malaysia MADANI bermaksud untuk merapatkan jurang infrastruktur luar bandar dengan memastikan setiap sekolah mempunyai kemudahan asas yang lengkap, selamat, dan bermartabat. 

“Pendidikan yang berkualiti bermula dengan persekitaran pembelajaran yang sempurna. Kita tidak boleh berbicara tentang pendidikan kelas pertama jika anak-anak kita masih terpaksa belajar dalam persekitaran yang tidak kondusif.

“Kita perlu menuntut keadilan sosial melalui penyediaan infrastruktur yang mampan,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kenegeraan Malaysia MADANI: Wancana Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 di sini hari ini.

Mustapha berkata transformasi pendidikan menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 bukan milik kementerian semata-mata dan ia adalah amanah kolektif semua pihak.

Beliau berkata rakyat Sabah juga tidak boleh lagi menjadi pemerhati kepada arus perubahan sebaliknya mereka perlu menjadi penggerak dan menggalas tanggungjawab bersama demi masa depan anak bangsa.

“Saya mahu kita semua menjadi Duta Visi Pendidikan, ‘penyambung lidah’ kepada masyarakat untuk terangkan kepada rakan setugas, ibu bapa, dan komuniti tentang kepentingan transformasi ini, kerana rakyat perlu faham bahawa kita sedang membina masa depan bukan sekadar menukar sistem.

“Kita juga perlu mengaplikasikan minda inovatif, jangan tunggu arahan dari atas untuk mula berubah. Gunakan input daripada wacana hari ini untuk memperbaiki cara kita bekerja, cara kita mengajar, dan cara kita memimpin di peringkat akar umbi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Sabah juga perlu mengekalkan sinergi MADANI dengan meneruskan kolaborasi antara ahli akademik dan penggerak komuniti seperti yang dilihat pada hari ini kerana dokumen perancangan sehebat manapun tidak akan bermakna tanpa penggerak berjiwa besar untuk menjayakannya.

Mustapha berkata dalam kerangka RPM 2026-2035, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus diletakkan sebagai nadi utama ekonomi masa depan negara. 

“Dengan kepesatan industri dan keperluan tenaga mahir yang tinggi, graduan TVET adalah tulang belakang kepada kemajuan negara yang akan memacu inovasi dan produktiviti nasional,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan