AM > BERITA

1,903 Pelajar UMT Terima Manfaat Baucar Makanan Sumbangan MAIDAM

16/02/2026 09:37 PM

KUALA NERUS, 16 Feb (Bernama) -- Sebanyak 1,903 pelajar asnaf di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima manfaat baucar makanan berjumlah RM570,000 sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu menerusi inisiatif Dapur MAIDAM bagi membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata setiap pelajar menerima kira-kira RM300 secara sekali beri yang dikreditkan pada awal tahun menerusi aplikasi khas universiti.

“Setiap pelajar menerima kira-kira RM300 seorang. Pelajar boleh berbelanja maksimum sekitar RM10 sehari, namun penggunaan baucar itu terpulang kepada mereka.

“Menerusi tinjauan dijalankan ada pelajar menggunakan baucar makanan itu hingga setahun kerana hanya menebus ketika perlu, dan terpulang kepada mereka untuk gunakan pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penzahiran Iltizam HEPA 2026 di sini hari ini.

Mohd Izani berkata ini adalah kali ketiga UMT menerima peruntukan daripada MAIDAM sejak 2023,  bertujuan memastikan pelajar tidak terbeban dengan kos makan dan minum yang menjadi keperluan asas mahasiswa.

"Memang kita buat saringan untuk pembayaran kepada golongan pelajar asnaf yang dikenal pasti dan telah membentangkan laporan kepada MAIDAM. Alhamdulillah, MAIDAM berpuas hati dengan laporan dibentangkan dan menaikkan hampir dua kali ganda sumbangan Dapur MAIDAM kali ini,” katanya.

Selain MAIDAM, UMT turut menerima sumbangan RM100,000 daripada Pusat Ihsan UMT bagi memperkasakan pelajar asnaf menerusi pelbagai program pembangunan mahasiswa tahun ini, katanya.

Beliau berkata antara perancangan telah diatur termasuk penyertaan pelajar asnaf dalam beberapa program antarabangsa, termasuk Global Student Leadership Summit di China.

“Kita akan menghantar pelajar asnaf menyertai program antarabangsa dan menaja penyertaan mereka sepenuhnya. Selain itu, terdapat beberapa lagi program pembangunan yang dirancang supaya mereka dapat menimba pengalaman serta membina keyakinan diri.

"Pendekatan berkenaan selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut aktif dalam kokurikulum dan kepimpinan. Kita mahu pelajar asnaf ini menjadi mahasiswa yang bersedia dan berdaya saing," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan