AM > BERITA

18 Bulan Pegang Jawatan Berisiko Tinggi Dalam ATM

16/02/2026 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan integriti, tempoh maksimum 18 bulan ditetapkan bagi pegawai yang memegang jawatan berisiko tinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum kedudukan mereka disemak semula.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata tempoh itu melibatkan jawatan yang terdedah risiko seperti dalam bidang perolehan kerana berada lama di sesuatu posisi boleh membawa konflik kepentingan dan salah guna kuasa.

"Kita tidak mahu seseorang terlalu lama berada di satu posisi sehingga wujud ‘little Napoleon’ atau konflik kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan organisasi.

"Had asas ialah 18 bulan, tertakluk pada penilaian keberkesanan kerja. Sekiranya semak dan imbang serta audit mendapati pegawai tersebut berintegriti dan berprestasi baik, tempoh boleh dilanjutkan, namun sekurang-kurangnya selepas 18 bulan, perlu disemak semula kedudukan tersebut," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perintah Ulung PAT ke-24 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan itu ialah mekanisme dalaman bagi memastikan sistem semak dan imbang berfungsi secara berkesan serta mengurangkan ruang penyalahgunaan kuasa dalam organisasi.

Mengenai pengisytiharan harta, Malek Razak berkata kewajipan itu melibatkan semua peringkat pemerintahan dan pegawai utama yang mengendalikan pengurusan kewangan serta perkara berkaitan.

"Perkara ini telah lama dilaksanakan, namun sebahagiannya mungkin tidak dikemas kini. Jadi ia perlu diperbaharui berdasarkan kedudukan semasa pegawai berkenaan, mana-mana yang belum mengisytiharkan harta, perlu berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata kekerapan pengisytiharan harta akan diperincikan berdasarkan garis panduan Inspektorat yang berpandukan peraturan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya beberapa format dan mekanisme pelaksanaan perlu dikemas kini terlebih dahulu sebelum arahan dalaman dikeluarkan bagi menetapkan tempoh serta tatacara terperinci.

Beliau turut mengumumkan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) akan diletakkan di bawah pelaporan terus kepada PAT bagi memperkukuh aspek akhlak dan kerohanian sebagai asas pembinaan sahsiah warga ATM.

Malek Razak berkata keseluruhan pendekatan itu bertujuan memastikan ATM bukan sahaja mampu menangani cabaran semasa, malah bersedia menghadapi masa hadapan di bawah kerangka Angkatan Masa Hadapan demi mempertahankan kedaulatan negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan