AM > BERITA

Kadar Sewaan Tapak Bazar Sektor Swasta Diselaraskan Tahun Hadapan - Exco

19/02/2026 08:21 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan menyelaraskan kadar sewaan tapak bazar Ramadan dikendalikan sektor swasta bermula tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor. 

Beliau berkata langkah itu diambil susulan terdapat lokasi tertentu mengenakan kadar sewa terlalu tinggi kepada peniaga dengan semakan di lapangan mendapati amalan itu telah berlaku sejak beberapa tahun.

Buat masa ini, beliau berkata kerajaan negeri telah menyelaraskan kadar sewaan di semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor dengan kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga yang menyewa terus ditetapkan pada RM500 dan ke bawah.

“Bagi sektor swasta, belum ada kawalan buat masa ini namun insya-Allah, kita akan melihat dan menyelaraskan perkara ini tahun hadapan.

“Ada (peniaga) bazar yang mencatatkan pendapatan sehingga RM50,000 hingga RM60,000 sepanjang Ramadan, bermakna walaupun membayar sewa RM5,000 untuk tempoh 30 hari, pendapatan kasar mereka masih tinggi bergantung kepada jenis perniagaan.

“Oleh sebab itu, kebanyakan peniaga bersedia dan tidak membuat aduan. Pada peringkat swasta, maklum balas yang diterima, tiada rasa tidak puas hati kerana pendapatan diperoleh jauh lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas melawat Bazar Ramadan Nusa Perintis, di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata penyelarasan kadar sewaan itu bersifat fleksibel dan tertakluk kepada lokasi serta fasiliti disediakan penganjur selain mengehadkan keuntungan penganjur kepada 30 peratus daripada kadar sewaan petak.

“Sebagai contoh, jika sewaan RM1,000, kos sebenar mungkin RM700 selepas mengambil kira penyediaan apron, perkhidmatan pembersihan, keselamatan serta khemah dan keuntungan bersih hanya sekitar RM300, iaitu kadar yang tidak melampau dalam industri makanan dan minuman,” katanya.

Mohd Jafni berkata sesi keterlibatan berhubung perkara itu telah dimulakan beberapa bulan lepas.

Beliau memaklumkan sebanyak 224 lokasi bazar Ramadan di Johor tahun ini dengan 13,576 petak sewa diluluskan, meningkat 819 petak berbanding tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan