AM > BERITA

Malbatt Village Lokasi Interim PLKN 3.0 Siri 2/2026 - KP JLKN

02/03/2026 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Fasiliti Malbatt Village di Port Dickson, Negeri Sembilan akan dijadikan lokasi tambahan sementara (interim) bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula Siri 2/2026 pada 25 April ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Ya'cob Samiran berkata langkah mitigasi strategik itu diambil susulan cabaran teknikal dan kekangan tadbir urus perolehan yang menjejaskan tarikh siap asal inisiatif menaik taraf 11 Kem Askar Wataniah (AW) yang dikenal pasti untuk pelaksanaan program berkenaan.

Beliau berkata penggunaan fasiliti interim itu akan dilaksanakan hingga 8 Jun depan bagi memastikan kesinambungan PLKN 3.0 tidak terjejas.

“Penggunaan Malbatt Village sebagai fasiliti sementara bukan sekadar penyelesaian logistik, malah merupakan manifestasi sokongan padu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam menjayakan agenda nasional yang berimpak tinggi.

“Usaha ini sekali gus memperkukuh komitmen merealisasikan objektif PLKN 3.0 dalam membentuk jati diri generasi muda yang patriotik, bersatu padu dan membudayakan semangat kesukarelawanan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan PLKN 3.0 Siri 1/2026 yang diadakan serentak di dua kem hari ini, menyaksikan 833 pelatih terdiri daripada 556 lelaki dan 277 wanita menamatkan latihan yang berlangsung dari 17 Jan hingga hari ini.

Ya'cob berkata inisiatif menaik taraf 11 kem AW berkenaan kini berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan, namun berdepan beberapa cabaran yang memberi kesan langsung terhadap ketersediaan fasiliti latihan bagi 2026.

“Mengambil kira sambutan luar jangka bagi Siri 1/2026, JLKN telah melaksanakan tinjauan dan penilaian strategik fasiliti pada 24 Jan lepas dan mendapati Malbatt Village berada pada tahap kesiapsiagaan infrastruktur, kemudahan sokongan serta kesesuaian operasi untuk tujuan latihan.

“Secara keseluruhan, fasiliti itu berkeupayaan menampung antara 600 hingga 700 pelatih pada satu-satu masa,” katanya.

Pada majlis itu, Anugerah Wiramuda Ulung disampaikan kepada Maria Clara Samin dari Sandakan, Sabah sebagai pelatih wanita terbaik Kem 515 Kuala Lumpur, manakala Muhammad Afiq Fiqri Zulhakebar dari Perak dinobatkan pelatih lelaki terbaik Kem 505 Pekan, Pahang.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul selaku perasmi dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Bagi siri latihan seterusnya, JLKN mengingatkan bakal pelatih, khususnya kelahiran 2008 supaya sentiasa peka dengan pengumuman di saluran rasmi dan menyemak sistem ePLKN dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan