AM > BERITA

UTM Lancar Dapur Siswa MADANI Bantu Mahasiswa B40 Dan Asnaf

04/03/2026 09:42 AM

JOHOR BAHRU, 3 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini melancarkan Dapur Siswa MADANI, satu inisiatif bagi membantu mahasiswa mendapatkan akses makanan secara lebih bersistematik dan berterusan, khususnya dalam kalangan pelajar B40 dan asnaf.

Menurut kenyataan UTM, program berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di universiti awam di negara ini, sebagai usaha menangani peningkatan kos sara hidup mahasiswa.

“Buat permulaan, program Dapur Siswa MADANI menyediakan makanan ruji iaitu nasi berserta lauk kepada pelajar B40 tempatan di Masjid UTM dengan tajaan Unit Zakat, Pusat Islam UTM, mengikut jadual tertentu,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran itu diadakan serentak dengan penyerahan sumbangan agihan zakat dan bantuan Aidilfitri sempena Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026 di Masjid Sultan Ismail di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azam selaku wakil Menteri Pendidikan Tinggi.

Program ini adalah sebahagian daripada Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Selatan yang menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkukuh nilai kepimpinan, kebersamaan dan kesejahteraan mahasiswa.

Bersempena majlis itu, UTM turut mengagihkan zakat 2025 berjumlah RM1.8 juta serta bantuan Hari Raya melalui Dana Wakaf UTM sebanyak RM5,000 yang memberi manfaat kepada pelajar asnaf universiti berkenaan.

“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar menjelang Syawal, selain memastikan kelangsungan pengajian mereka terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026 yang menghimpunkan kira-kira 2,000 mahasiswa termasuk pemimpin muda IPT di Johor turut menerima sokongan penajaan daripada Yayasan Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Perkasa Siswa.

Menurut UTM, penganjuran program berkenaan mencerminkan kesepaduan antara kepimpinan nasional, institusi pendidikan tinggi dan rakan strategik dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa sebagai tunjang kelestarian sistem pendidikan tinggi negara.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan