GEORGE TOWN, 5 Mac (Bernama) -- Pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long di pejabatnya di Komtar di sini, sempena penganjuran sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin mengetuai delegasi yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Ketua Hal Ehwal Korporat Mariati Mohd Arif dan Ketua Biro Bernama Pulau Pinang R. Ratcharathan.
Nur-ul Afida berkata pertemuan kira-kira 45 minit itu bertujuan memaklumkan mengenai persiapan serta pengisian program sempena sambutan Hari Kemuncak HAWANA tahun ini yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada Jun depan.
Beliau berkata pihaknya turut memohon kerjasama kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang dirancang sempena sambutan berkenaan.
“Kita memaklumkan mengenai pengisian yang akan diadakan di Pulau Pinang sempena sambutan HAWANA dan memohon kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membantu melancarkan lagi program-program yang akan diadakan nanti.
“Gerak kerja persiapan HAWANA sebenarnya telah bermula sejak Disember lepas dan kita sedang mempergiatkan persiapan bagi sambutan hari kemuncak itu,” katanya selepas kunjungan tersebut.
Nur-ul Afida berkata kerajaan negeri turut menyatakan sokongan dan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi melalui Bernama selaku agensi pelaksana bagi menjayakan sambutan berkenaan.
Beliau berkata HAWANA 2026 akan menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara serta rakan media dari negara-negara ASEAN selain berharap sambutan kali ini akan berlangsung meriah seperti penganjuran sebelum ini di negeri-negeri lain dengan sokongan semua pihak termasuk warga media.
Seusai kunjungan hormat itu, delegasi Bernama turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri yang juga Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Yap Lee Ying bagi membincangkan kerjasama bagi kelancaran sambutan HAWANA 2026.
Pada 27 Feb lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sambutan HAWANA 2026 bakal berlangsung di Pulau Pinang pada Jun ini dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
HAWANA, yang juga perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia, dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.
Sebelum ini, acara berprestij yang menjadi platform penting dalam menghargai peranan pengamal media di Malaysia selain memperkukuh ekosistem kewartawanan itu pernah diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh dan Kuching.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial