KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menggesa para pengamal perhubungan awam memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dan kepercayaan pada era perubahan pesat serta transformasi digital.
Baginda bertitah bahawa dalam dunia masa kini yang mengalami ketidaktentuan dan perubahan pantas, komunikasi menjadi kian mustahak kerana ia membolehkan masyarakat mencari titik persamaan, pemimpin menyuntik harapan dan komuniti mendepani cabaran bersama-sama.
“Dalam era ledakan maklumat tanpa henti ini, kisah yang kita ungkapkan dan nilai yang dijunjung bakal menentukan bagaimana dunia memandang rantau kita.
“Bukan hanya sebagai kelompok negara, tetapi sebagai sebuah komuniti yang terbina atas rasa saling menghormati, tanggungjawab bersama dan harapan yang berkekalan,” titah baginda pada Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global Malaysia 2025 (GPRCFMY 2025) di sini hari ini.
Tengku Permaisuri Norashikin turut menyatakan bahawa ketika kecerdasan buatan, data dan alat digital mengubah landskap komunikasi, maka keberkesanan teknologi bergantung pada ketulusan penggunaannya.
“Biarlah setiap mesej yang kita garap berteraskan kejujuran dan perikemanusiaan. Biarlah setiap kempen yang kita laksanakan memupuk kefahaman, bukan perpecahan dan biarlah setiap platform yang kita wujudkan tidak sia-sia sebaliknya membawa manfaat.
“Apabila komunikasi dikemudi oleh suara hati ia mampu merawat luka, memulihkan kepercayaan dan menyuburkan kembali harapan,” titah baginda.
Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut melancarkan Laman Web PRactitioners, serta Kod Etika dan Integriti dalam Perhubungan Awam hasil karya tokoh terkemuka industri perhubungan awam dan komunikasi strategik negara Prof. Mohd Said Bani C.M. Din, terbitan PRCA Malaysia.
Anjuran Pertubuhan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners), acara julung kali selama tiga hari yang bermula semalam itu, menghimpunkan lebih 500 pemimpin komunikasi, pengamal media, pembuat dasar dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.
Bertemakan “Humanity Amplified: Redefining Public Relations in the Age of Intelligence’’, persidangan itu membincangkan bagaimana kepercayaan, etika dan teknologi boleh wujud seiring dalam komunikasi moden melalui dialog, kelas pakar pemantapan dan sesi pleno yang dirangka untuk memperkasa kecemerlangan komunikasi global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial