AM > BERITA

Mesyuarat Agung Pertama Majlis Media Malaysia Pada Jumaat Ini

04/11/2025 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Agung pertama Majlis Media Malaysia (MMM) akan diadakan pada Jumaat ini bagi memilih lembaga tadbir badan itu, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam penubuhan badan kawal selia kendiri bagi industri media di negara ini.

Pengerusi Interim MMM C. Premesh dalam kenyataan berkata lembaga tadbir yang akan dipilih itu terdiri daripada wakil syarikat media, pengamal media, pertubuhan media serta organisasi dan individu yang mewakili kepentingan awam.

“Lembaga yang dipilih ini akan mempunyai 12 ahli terpilih, disertai hingga enam ahli lantikan dan dua wakil kerajaan, menjadikan keseluruhannya 20 ahli lembaga, bersama-sama seorang Pengerusi lantikan. Lembaga baharu ini akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun. 

“Mesyuarat ini juga akan membincangkan beberapa usul penting, termasuk untuk meluluskan Kod Etika dan Mekanisme Aduan, serta usul operasi berkaitan yuran keahlian, elaun Pengerusi dan Lembaga serta belanjawan Majlis,” katanya.

Mesyuarat itu dianjurkan Lembaga Pengasas Majlis yang dilantik Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Julai lepas, dan di bawah Akta MMM, mandat lembaga itu adalah untuk membuka keahlian, memanggil Mesyuarat Agung Pertama dan mengadakan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pelantikan.

Sehubungan dengan itu, Premesh menzahirkan penghargaan kepada semua ahli lembaga pengasas atas dedikasi masing-masing dalam membangunkan organisasi permulaan itu serta telah menyumbang sepenuhnya secara sukarela tanpa sebarang pembiayaan khusus.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada setiausaha interim MMM Faiz Mustafa yang telah berkhidmat secara sukarela dan menyifatkan pengalamannya dalam bekerjasama dengan agensi kerajaan membantu majlis itu menguruskan proses dan prosedur rasmi.

Sementara itu, Premesh memaklumkan kerajaan memperuntukkan kira-kira RM120,000 bagi tahun ini untuk pembiayaan pembangunan keahlian, mesyuarat agung pertama dan aktiviti berkaitan serta dana terbabit diterima pada minggu terakhir Oktober.

Selain itu, katanya dana operasi untuk pejabat, sekretariat dan aktiviti MMM berjumlah RM4 juta dijangka diterima pada suku pertama 2026 selepas kelulusan belanjawan Kementerian Komunikasi yang baru dibentangkan di Parlimen. 

“Kami berjaya menubuhkan sebahagian besar infrastruktur awal Majlis termasuk membuka akaun bank, laman web, melantik penasihat undang-undang, membangunkan prosedur operasi dan Kod Etika serta memproses permohonan keahlian dan mengatur Mesyuarat Agung ini sepenuhnya melalui usaha sukarela.

“Ini mencerminkan komitmen dan tekad tinggi untuk menjadikan Majlis ini berjaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan