KOTA BHARU, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) kini giat menggerakkan kempen penerangan berhubung Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bagi memastikan seluruh warga pendidik dan masyarakat memahami hala tuju pelan strategik itu secara tuntas.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata inisiatif penyebaran maklumat ini dilaksanakan secara intensif melalui 'Program Tekad', yang merupakan pengisian istimewa dalam siri Jaulah Ramadan KPM di seluruh negara pada tahun ini.
Beliau berkata RPM 2026-2035 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lepas bukan sekadar prakarsa pendidikan biasa, sebaliknya dasar penting negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.
"Kita mahu membina negara bangsa. Sebab itu semua kepimpinan tertinggi KPM termasuk Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek amat serius memberikan penjelasan seluas-luasnya kepada masyarakat, khususnya warga pendidik.
"Bagi memastikan pemahaman ini tepat, tidak pekat dan tidak cair seperti yang dihasratkan, kita mesti menyebarkan naratif ini secara berterusan agar pemahaman RPM ini tidak terputus," katanya kepada pemberita selepas program Jaulah Ramadan Perdana Tahun 2026 KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, di sini malam ini.
Katanya kempen penerangan ini digerakkan secara berterusan di semua negeri dengan penglibatan Pengarah Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pengetua dan guru besar.
"Maklumat RPM telah disalurkan kepada Majlis Guru Cemerlang, platform penglibatan ibu bapa, komuniti dan swasta serta turut dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“KPM juga telah menyediakan dokumen penuh secara dalam talian untuk rujukan dan bacaan umum bagi menyokong taklimat bersemuka," katanya.
Beliau berkata walaupun peratusan spesifik capaian penerangan tidak direkodkan secara angka khusus, beliau yakin liputannya telah mencapai tahap yang amat meluas.
Mohd Azam turut menyeru seluruh warga pendidik untuk sentiasa membincangkan prinsip dan konsep RPM dalam ekosistem sekolah.
"Warga pendidik perlu sentiasa bercakap tentang RPM. Ada pihak membandingkannya dengan zaman mereka belajar dahulu, pandangan itu kurang tepat kerana RPM ini digubal khas untuk memacu pendidikan ke hadapan, memfokuskan keperluan hingga 2035.
"Bagi kumpulan minoriti yang masih belum mendapat penerangan menyeluruh, KPM komited untuk menangani perkara tersebut menerusi strategi dan pendekatan yang terbaik pada masa akan datang," katanya.
Pada 20 Jan lepas, Anwar melancarkan RPM 2026-2035, sebuah pelan strategik reformasi pendidikan nasional yang dipimpin bersama KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan membina sistem pendidikan yang lebih adil dan berteraskan nilai.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial