BATU PAHAT, 19 Mac (Bernama) -- Sebut sahaja rempah sama ada beriani atau rendang pasti warga Batu Pahat dan kawasan sekitar akan tertumpu pada syarikat yang satu ini, iaitu Syarikat Ismail Yahya (SIY) terutama ketika musim perayaan dan tidak terkecuali bagi Aidilfitri.
Perniagaan rempah SIY, atau lebih popular dalam kalangan warga tempatan sebagai Ismail Yahya, dibuka pada tahun 1940 dan sejak itu ia menjadi tumpuan mereka yang ingin mendapatkan pelbagai jenis rempah ratus kerana syarikat berkenaan terkenal sebagai “pakar” dalam membuat serta mencampur aduk pelbagai rempah.
Generasi ketiga perniagaan itu, Mohamad Firdaus Habib Rahman, 29 berkata kedainya yang terletak di Jalan Ibrahim, Batu Pahat akan menjadi tumpuan ketika Ramadan dan Syawal.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu, rempah yang dibuat sendiri dan diwarisi daripada datuknya, Mohamad Abdullah, mendapat permintaan tinggi.
“Antara rempah yang paling laris ialah beriani, dan untuk bulan Ramadan sahaja kami perlu menyediakan sehingga 6 tan manakala untuk rendang sekitar 1 tan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohamad Firdaus berkata untuk Syawal pula, pihaknya perlu menyiapkan kira-kira 500 kilogram (kg) rempah beriani, 300 kg rempah rendang dan untuk sup sekitar 200 kg.
“Ramai pelanggan yang datang ke sini terutamanya bagi mereka yang ingin mendapatkan pelbagai jenis rempah kami untuk menyambut Aidilfitri, dan ada yang sanggup datang dari utara Semenanjung,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang pelanggan Megawati Abdul Rahman, 59, dia sering datang ke SIY kerana terdapat pelbagai pilihan rempah selain harganya yang berpatutan.
“Pelanggan yang datang ke sini seperti saya sememangnya berpuas hati kerana rempah yang dijual dihasilkan dan diadun sendiri oleh mereka berbanding di tempat lain yang kebanyakannya hanya menjual produk orang lain,” katanya
Habsah Musa, 60, pula berkata rempah yang dijual di SIY memang tidak dapat dinafikan keasliannya, dan jika dimasak menu yang terhasil “cukup rasanya” kerana produk yang dihasilkan sememangnya berkualiti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial