AM > BERITA

RTS Link Dibangun Sebagai Sebahagian Rangkaian Mobiliti Bersepadu Johor Bahru–Singapura

20/03/2026 11:05 AM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dibangunkan sebagai sebahagian daripada rangkaian mobiliti bersepadu untuk menghubungkan perkhidmatan rel rentas sempadan dengan sistem pengangkutan awam sedia ada dan yang bakal dibangunkan di bandar raya ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata integrasi adalah nilai asas utama dalam perancangan Laluan RTS sejak awal lagi.

“RTS Link tidak pernah dirancang sebagai perkhidmatan kendiri. Ia direka bentuk untuk berfungsi sebagai sebahagian daripada rangkaian mobiliti yang lebih luas untuk Johor Bahru dan wilayah sekitarnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di bawah pelan itu, sistem Transit Rel Autonomi (ART) yang bakal dibina di Johor Bahru akan merangkumi perhentian di Bukit Chagar dengan sambungan terus ke RTS Link, dan tapak untuk stesen ART telah dikenal pasti.

Bagi merealisasikan visi pengangkutan bersepadu ini, Mohd Zarif berkata MRT Corp sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Negeri Johor, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), serta pihak pengurusan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) untuk membangunkan Bukit Chagar menjadi hab pengangkutan bersepadu sepenuhnya.

Mohd Zarif berkata sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh ketersambungan peringkat pertama dan terakhir, lebih 250 bas tambahan dijangka dilancarkan menjelang 2027 bagi meningkatkan perkhidmatan bas awam di bandar ini.

Satu lagi komponen penting ialah jejantas pejalan kaki yang akan menyediakan sambungan terus antara stesen RTS dan perkhidmatan kereta api seperti KTM Komuter dan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS), sekali gus membantu menyuraikan aliran penumpang di luar kawasan Bukit Chagar.

Beliau berkata akses yang terhubung dengan baik penting kepada keselesaan pelanggan MRT Corp, memastikan penumpang boleh sampai, masuk dan menggunakan sistem dengan lancar dari permulaan perjalanan mereka lagi.

"Apabila laluan pindah dan akses ke rangkaian jalan terhubung dengan baik, pengangkutan awam akan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita dan bukannya kaedah yang perlu dipertimbangkan," katanya.

Mohd Zarif berkata apabila RTS Link memulakan operasi selepas pembinaan siap pada 31 Disember 2026, pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Bukit Chagar dijangka masih dalam pembinaan.

Beliau berkata dalam tempoh ini, pengguna mungkin mengalami penyesuaian aliran trafik, justeru perlu ada maklumat yang jelas dan tepat pada masanya bagi memastikan perjalanan yang lancar.

Laluan pejalan kaki akan menghubungkan stesen tersebut dengan pembangunan di sekitarnya, termasuk Bangunan Sultan Ibrahim, manakala kemudahan parkir untuk menggunakan pengangkutan awam akan menyediakan pilihan tambahan untuk pengguna jalan raya.

Ini termasuk 1,500 ruang parkir di Bukit Chagar yang menawarkan tempat letak kereta standard dan premium, serta 700 ruang parkir khusus untuk RTS di Coronation Square, katanya.

Mohd Zarif berkata jambatan pejalan kaki termasuk yang disambungkan ke stesen KTM Johor Bahru Sentral (JB Sentral), akan meningkatkan lagi akses dan meluaskan ketersambungan di seluruh bandar raya itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan