AM > BERITA

Mangsa Kemalangan Di Dungun Sempat Sambut Hari Lahir Anak Bongsu

24/03/2026 02:10 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Bernama) -- Allahyarham Nurul Hafizah Shaary, 39, yang maut bersama dua anaknya dalam perjalanan pulang dari menghadiri majlis perkahwinan adiknya, sempat menyambut hari lahir anak bongsu sebelum ditimpa kemalangan jalan raya petang semalam.

Anak saudara mangsa Mohd Tarmizi Said, 42, berkata pada malam sebelum kejadian, arwah sempat mengatur majlis sambutan hari lahir untuk Nur Radya Athalia Mohamad Redzuan, 4, yang turut terkorban dalam kemalangan itu.

Mohd Tarmizi yang bekerja sebagai pegawai polis berkata arwah kelihatan sangat gembira dan ceria kerana semua sanak saudara yang dekat serta jauh dapat berkumpul menyambut Aidilfitri dan majlis perkahwinan bersama-sama setelah sekian lama.

“Kami memang rapat sejak kecil kerana membesar bersama-sama. Malah dia lah yang memberi kata-kata semangat semasa saya menjalani latihan polis. 

“Pada malam kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan… dia memang sentiasa ceria dan disayangi oleh semua orang. Kebetulan hari lahir anak bongsunya sama dengan saya, jadi kami sambut bersama-sama pada malam sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini hari ini.

Mohd Tarmizi berkata suami arwah Mohamad Redzuan, 40, yang bekerja sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan (KK) Kuala Dungun masih dalam keadaan trauma selepas kehilangan isteri dan dua anak serentak.

Selain itu, Mohamad Redzuan juga terpaksa menguruskan dua lagi anak, iaitu Nur Raesha Amanda, 14, dan Nur Rakhis Aral Yn, 9, yang masih dirawat di Hospital Dungun.

“Ketika mendapat perkhabaran, suami arwah baru sahaja sampai di kediaman mereka di Ajil (Hulu Terengganu) dari Jerangau (di Dungun). Dia terpaksa pulang lebih awal dengan menaiki motosikal kerana perlu masuk bekerja.

“Bagaimanapun dalam pukul 6 petang semalam, saya terima panggilan daripada suami arwah dan saya terus bergegas ke KK Jerangau untuk tengok keadaan anak bongsunya yang cedera parah dan dia meninggal dalam pelukan saya,” katanya, yang tidak dapat menahan sebak.

Mohd Tarmizi berkata Nur Rakhis Aral Yn kini dalam keadaan stabil dan akan dibenarkan pulang hari ini manakala Nur Raesha Amanda akan dipindahkan ke Hospital Kemaman untuk menjalani pembedahan paha yang patah.

Menurut Mohd Tarmizi, jenazah tiga beranak itu, termasuk seorang lagi anak mangsa Muhammad Redzuan Arash, 13, sudah selesai dibedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tong di Setiu selepas solat Asar.

Semalam Bernama melaporkan tiga beranak maut selepas kereta Perodua Aruz yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor, dekat Felda Jerangau di Dungun.

Mangsa Nurul Hafizah dan Muhammad Redzuan Arash disahkan maut di tempat kejadian manakala Nur Radhya Athalia meninggal dunia ketika menjalani rawatan di KK Jerangau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan