AM > BERITA

Ketidaktentuan Harga Minyak Global Boleh Tekan Kos Sara Hidup, Persediaan Menyeluruh Diperlukan

24/03/2026 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Ketidaktentuan harga minyak global susulan konflik geopolitik berpotensi meningkatkan tekanan kos sara hidup rakyat, sekali gus menuntut kesiapsiagaan menyeluruh oleh kerajaan serta tahap kesedaran lebih tinggi dalam kalangan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata kerajaan perlu memastikan mekanisme pemantauan dan intervensi dilaksanakan dengan berkesan termasuk komunikasi yang telus, pemantauan rantaian bekalan dan langkah kawalan sekiranya perlu bagi mengelakkan manipulasi harga atau kekurangan bekalan.

“FOMCA menasihatkan pengguna supaya kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan spekulasi atau berita tidak sahih, berbelanja secara berhemat dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta mengelakkan pembelian panik yang boleh menjejaskan bekalan pasaran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata krisis minyak dunia sememangnya boleh memberi kesan tidak langsung kepada pengguna di Malaysia terutamanya dari segi kenaikan kos pengangkutan, harga barangan dan tekanan terhadap kos sara hidup.

Walaupun Malaysia mempunyai beberapa mekanisme kawalan harga dan subsidi, Saravanan berkata sebarang ketidaktentuan global yang berpanjangan boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara seterusnya memberi kesan kepada pengguna.

“Dari sudut kesedaran, pengguna di Malaysia secara amnya masih kurang peka terhadap bagaimana konflik geopolitik boleh memberi kesan terhadap kehidupan harian mereka. Dalam situasi semasa terutama dalam musim perayaan, terdapat risiko berlakunya pembelian panik sekiranya maklumat tidak disampaikan dengan jelas dan tepat.

“Sekiranya konflik (di Asia Barat) berlarutan, kesan langsung mungkin termasuk peningkatan harga bahan api, kos logistik dan akhirnya harga makanan serta barangan keperluan. Hal ini boleh memberi tekanan khusus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata kenaikan harga minyak global dijangka memberi kesan meluas terhadap ekonomi dunia termasuk kos pengangkutan, kos pengeluaran, harga makanan, kadar inflasi serta dasar monetari.

Beliau berkata sebagai negara ekonomi terbuka yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap perkembangan global, Malaysia perlu membuat penilaian rapi dan bersedia menghadapi kemungkinan tekanan berterusan akibat ketidaktentuan pasaran tenaga.

Menurutnya walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, kedudukannya bukan sebagai penentu harga di pasaran global sebaliknya lebih kepada penerima harga.

Beliau berkata rizab minyak negara dianggarkan sekitar 2.7 bilion tong yang dijangka bertahan kira-kira 12 tahun, jauh lebih kecil berbanding negara pengeluar utama seperti Arab Saudi.

Selain itu, katanya pengeluaran minyak Malaysia sekitar 570,000 tong sehari masih tidak mencukupi berbanding penggunaan domestik yang dianggarkan 747,000 tong sehari, menjadikan negara sebagai pengimport bersih minyak.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu meneliti semula kaedah penentuan harga minyak di pam serta meneruskan pelaksanaan subsidi yang lebih bersasar selaras dengan perkembangan harga minyak global.

Noor Azlan berkata semua pihak termasuk kerajaan, industri dan rakyat perlu bekerjasama dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik semasa tanpa menuding jari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan