KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Penyerang Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin enggan mensia-siakan peluang sekiranya diberikan kesempatan beraksi menentang Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Nam Dinh pada 31 Mac ini.
Luqman Hakim yang kembali menyarung jersi skuad kebangsaan selepas kira-kira empat tahun berkata kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih Peter Cklamovski melonjakkan keyakinannya untuk membantu rakan sepasukan menumpaskan tuan rumah di Stadium Thien Truong, walaupun peluang ke saingan akhir Piala Asia 2027 sudah tertutup.
“Bagi saya, perlawanan menentang Vietnam amat penting kerana ini soal maruah negara. Sasaran peribadi saya sudah tentu meraih kemenangan, insya-Allah,” katanya dalam satu video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.
Pemain berusia 24 tahun itu terakhir kali beraksi untuk skuad kebangsaan adalah ketika perlawanan persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.
Bekas pemain muda sensasi negara itu juga bertekad untuk mencetuskan impak pada penampilannya menentang Vietnam sebagai usaha menambat hati barisan kejurulatihan Harimau Malaya agar terus memilihnya pada masa depan.
Selain itu, Luqman Hakim mengakui minit permainan yang cukup bersama skuad Jang pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini berjaya meningkatkan prestasi dan keyakinan di atas padang, sekali gus membuka peluang dipanggil semula menyertai Harimau Malaya.
Setakat ini, beliau telah melakukan sebanyak 22 penampilan, menyumbang enam gol dan mengumpul 1,659 minit permainan bersama Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga-M musim ini.
Vietnam sudahpun mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2027 apabila mengumpul 15 mata, diikuti Malaysia kedua (9 mata) manakala Laos dan Nepal masing-masing di tempat ketiga dan keempat dengan berkongsi tiga mata.
Hasrat Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Asia buat kali kedua berturut-turut secara merit tidak kesampaian selepas menerima hukuman pemotongan mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua aksi pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 masing-masing menentang Nepal dan Vietnam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial